
TAPAH: Ahli Parlimen Parit Buntar, Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki mengkritik amalan pengumuman projek dan pemberian ‘ole-ole’ semasa tempoh kempen pilihan raya yang dilakukan oleh kerajaan memerintah.
Beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) yang dahulunya begitu lantang mengkritik amalan tersebut ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN), kini dilihat mengulangi tindakan sama setelah menjadi kerajaan.
“Sejak Kerajaan Madani mengambil alih pentadbiran, saban kali berlaku pilihan raya kecil (PRK), Menteri-menteri Kerajaan Pusat akan turun padang untuk mengumumkan pelbagai peruntukan dan projek.
“Antaranya, PRN (Pilihan Raya Negeri) Terengganu, Dato’ Seri (Ahmad) Zahid Hamidi mengumumkan bantuan kepada belia dan menyatakan bantuan akan ditambah sekiranya BN menang, dengan merujuk kepada PMX (Dato’ Seri Anwar Ibrahim).
“PRK Kuala Kubu Baharu, Nga Kor Ming mengumumkan peruntukan RM5.21 juta kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor, dan sehari sebelum penamaan calon, Menteri Kesihatan mengumumkan naik taraf Hospital Kuala Kubu Bharu.
“PRK Sungai Bakap, Dato’ Seri Zahid Hamidi mengumumkan dua projek besar, pusat aktiviti warga emas dan pembinaan sekolah Tamil, sekiranya PH menang.
“PMX sendiri turut mengumumkan sumbangan RM290,000 kepada 9 masjid dan 20 surau. Nga Kor Ming mengumumkan hampir RM18 juta untuk 10 projek infrastruktur di Seberang Perai,” katanya dalam satu sidang media, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Pengurus Kempen Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) PRK N.48 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning itu turut menyifatkan alasan diberikan PMX bahawa pengumuman dibuat sebelum tempoh kempen bermula sebagai tidak munasabah.
“Persoalannya, adakah PMX akan menerima alasan yang sama sekiranya ia dilakukan oleh Kerajaan di bawah Dato’ Seri Najib Razak dahulu? Lebih mengejutkan, bukan sahaja jentera Kerajaan Pusat digunakan.
“Malah jentera kerajaan negeri turut diperalat. Sebagai contoh, Stratcomm Negeri Perak jelas dilihat digunakan untuk membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) dalam PRK Ayer Kuning,” ujarnya.
Justeru, beliau mendesak Kerajaan Negeri Perak untuk menjelaskan berapakah jumlah wang rakyat yang disalahgunakan untuk membawa kakitangan Kerajaan Negeri Perak melaksanakan kerja kempen calon BN.
“Kami juga mendesak Kerajaan Madani di bawah pimpinan PMX untuk mengotakan janji dan prinsip reformasi yang sering dicanangkan. ‘Kata dulang paku serpih, mengata orang, dia yang lebih’.
“PERIKATAN NASIONAL akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung semua pelanggaran Akta Pilihan Raya yang telah berlaku dan menggesa SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) menyiasat serta mengambil tindakan sewajarnya.
“PMX, sila ‘walk the talk’. Mana reformasi yang anda janjikan kepada rakyat?” persoal beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Bagan Datok.
Terdahulu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming mengumumkan peruntukan sebanyak RM6.13 juta sehari sebelum penamaan calon pada 12 April lalu.
Peruntukan itu bagi 33 projek pembangunan di kawasan Parlimen Tapah, DUN Ayer Kuning yang kini sedang menghadapi PRK. – HARAKAHDAILY 16/4/2025











