Sultan Pahang murka tanah negeri banyak diceroboh

- Advertisement -

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Almarhum Sultan Ahmad Shah menzahirkan kemurkaan baginda terhadap isu pencerobohan tanah secara haram di negeri ini.

- Advertisement -

“Saya pun naik darah juga banyak orang menceroboh tanah negeri Pahang ini,” titah baginda menzahirkan rasa kecewa dengan sikap segelintir pihak yang sewenangnya meneroka tanah kerajaan tanpa kebenaran.

Baginda bertitah menzahirkan pendirian bahawa perlu diambil tindakan tegas bagi membendung pencerobohan tanah yang semakin berleluasa.

“Sudah sampai masanya kita berkeras dan mereka yang menceroboh tanah-tanah di negeri Pahang ini kita akan bertindak sedemikian dan kita akan selesai secara secara baik,” titah baginda.

Baginda turut menyeru rakyat negeri Pahang untuk bersama-sama menjaga bumi Pahang dan menjadi ‘mata dan telinga’ kepada baginda agar kegiatan pencerobohan tidak berleluasa.

“Jagalah negeri kita, jaga bumi Pahang kita dengan sebaik mungkin. Jadilah ‘mata dan telinga’ kepada Sultan Pahang. Jangan bagi orang menceroboh tanah-tanah negeri Pahang ini,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Bantal, Ulu Tembeling, Jerantut semalam yang dimuat naik di laman Facebook Kesultanan Pahang.

Terdahulu, operasi penguatkuasaan dijalankan di kawasan Sungai Klau, Raub bermula 8 April lalu dengan lebih 200 pokok durian Musang King yang ditanam di atas tanah kerajaan telah ditebang.

Operasi ini turut membabitkan Polis Diraja Malaysia serta Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), dan dijadual diteruskan sehingga 3 Mei melibatkan semua kawasan dikenal pasti telah diteroka secara haram.

Meskipun tindakan itu menerima tentangan daripada beberapa pekebun, Kerajaan Negeri Pahang menegaskan bahawa semua langkah diambil berdasarkan lunas undang-undang. – HARAKAHDAILY 14/4/2025

- Advertisement -