Demo resipi berasas buah kurma serikan kempen PN

- Advertisement -

TAPAH: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.48 Ayer Kuning, Ustaz Abdul Muhaimin Malek menghargai para wanita yang kreatif mempelbagaikan resipi berasaskan buah kurma.

“Kurma-kurma yang berbaki di rumah kita boleh dijadikan pelbagai menu menarik. Dalam demo masakan ini, ada enam resipi berasaskan kurma yang diperkenalkan dan saya sendiri sudah merasai semuanya – sedap dan manis… semanis kurma,” pujinya.

- Advertisement -


Antara menu dihasil berasaskan kurma itu ialah milk shake kurma, kopi kurma cincau, kukus kurma pisang, agar-agar kurma dan pengat kurma keledek, pada demo masakan anjuran Unit Daerah Mengundi (UDM) Tapah Road, di sini hari ini.

Pengerusi PN Tapah itu dalam ucapannya pada majlis tersebut menzahirkan iltizam tinggi untuk memberikan khidmat bakti sepenuh hati kepada rakyat di kawasan itu sekiranya diberi mandat dalam PRK kali ini.

Beliau berkata, kesediaannya menerima tanggungjawab sebagai calon bukan sekadar satu simbolik, sebaliknya datang dengan persediaan fizikal dan mental bagi memastikan kebajikan serta keperluan rakyat dapat disantuni sebaiknya.

“Apabila saya sudah menyatakan kesediaan untuk menjadi calon PN di DUN Ayer Kuning, itu bermakna saya telah bersiap sedia dari segi minda dan fizikal untuk benar-benar memberikan khidmat bakti kepada warga tempatan,” katanya.



Beliau turut mengharapkan doa daripada para ibu yang hadir, agar segala urusan beliau sepanjang tempoh berkempen diberkati dan dipermudahkan oleh Allah SWT.

“Ibu-ibu semua baru sahaja pulang dari masjid, masih berada dalam waktu mustajab. Doakan saya dan pasukan saya yang setiap hari turun padang untuk bertemu pengundi, agar dilindungi Allah dan diberi kekuatan dalam menyantuni masyarakat,” katanya.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning adalah pada 26 April ini dengan pengundian awal pada 22 April. – HARAKAHDAILY 13/4/2025

- Advertisement -