
KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat menggesa pihak bertanggungjawab melakukan siasatan yang menyeluruh, bebas dan tiada kompromi terhadap tragedi letupan saluran gas di Putra Heights, Selasa lalu.
Ketuanya, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya berkata, kenyataan-kenyataan bersifat separuh masak harus dielakkan oleh agensi-agensi berkaitan bagi meluruskan maklumat dan informasi sebenar mengenai tragedi berkenaan.
“Dewan Ulamak PAS meneliti perkembangan tragedi letupan tersebut secara lebih dekat dan kesal dengan kenyataan pihak tertentu yang seolah-olah ada usaha menutup bangkai gajah dengan nyiru.
“Sepatutnya sebuah badan bebas melakukan siasatan terperinci dan bertanggungjawab mendedahkan siasatannya kepada masyarakat awam.
“Tambahan lagi, menyalahkan pihak lain yang tiada kena mengena dengan tragedi tersebut merupakan suatu tindakan yang tidak wajar,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Ahli Parlimen Pokok Sena itu, kaedah ‘polluter pays principle’ sepatutnya digunapakai bagi memastikan pihak tersebut bertanggungjawab terhadap tragedi yang menimpa.
“Oleh itu, kerajaan wajar mengambil serius perkembangan ini dan memastikan segala siasatan dilaksanakan secara ‘transparent’ dan terbuka.
“Era maklumat terbuka hari ini sepatutnya menjadikan semua pihak lebih bertanggungjawab dan beretika dalam memberikan laporan, bukannya dengan kenyataan putar belit apatah lagi tidak menggambarkan realiti sebenar yang berlaku,” ujarnya.
Terdahulu, letupan saluran paip gas dan kebakaran besar yang berlaku pada pukul 8:10 pagi Selasa itu meninggalkan kesan ketara, membentuk sebuah kawah sedalam 32 kaki dengan keluasan kira-kira 70 x 80 kaki.
Ia turut mengakibatkan api menjulang tinggi serta menghasilkan bahang dan debu yang memusnahkan deretan kediaman serta harta benda, termasuk kenderaan dalam radius 500 meter dari lokasi kejadian.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bertindak menghantar pasukan penyiasat untuk memeriksa kawasan kawah yang terbentuk di lokasi kebakaran saluran paip tersebut.
Pemeriksaan turut melibatkan pegawai Petronas, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia. – HARAKAHDAILY 3/4/2025











