
KOTA BHARU: Seramai 100 orang bukan-Islam dalam DUN Kota Lama turut merasai program kebajikan ditawarkan kerajaan negeri menerusi sumbangan beras al It’am dan skim Kifaalah.
Pengarah Pusat Khidmat DUN Kota Lama, Dato’ Sr Zamri Ismail berkata, ia membabitkan golongan memerlukan perhatian dibantu selain meringankan beban menjalani kehidupan harian.
Malah beliau berkata, pihaknya juga komited untuk meneruskan agenda kebajikan yang menjadi teras kepada pentadbiran hari ini, ‘Penghayatan Membangun Bersama Islam’ (PMBI).
“Kita sentiasa cakna terhadap kebajikan rakyat yang pelbagai kaum ini dan rakyat digalakkan untuk menyuarakan masalah dihadapi agar bantuan yang sewajarnya dapat diambil.
“Kita harap masyarakat di sini dapat mengekalkan hubungan yang baik, saling bertanya khabar serta hidup dalam suasana harmoni tanpa mengira agama dan bangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan yang diadakan di Pejabat Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) di Jalan Kebun Sultan, di sini kelmarin.
Turut hadir Pegawai Khas Menteri Besar Kelantan merangkap Pengerusi DHPP Kelantan, Lim Guan Seng, dan Setiausaha Majlis Tindakan DUN Kota Lama, Nik Hazim Nik Rashid.
Dalam majlis tersebut, seramai 80 orang penerima mendapat sumbangan beras percuma melalui skim Al-It’am, yang merupakan program bantuan makanan itu diagihkan secara bulanan.
Ia membabitkan 50 dari kaum Cina dan 30 India sementara 20 individu terbabit turut menerima bantuan kewangan di bawah skim Kifaalah yang diwujudkan oleh kerajaan negeri.
Skim Kifalah didaftar meringankan beban kewangan dalam pengurusan jenazah yang terbuka rakyat tanpa mengira status kewangan atau bangsa dengan syarat usia 55 tahun ke atas. – HARAKAHDAILY 27/3/2025












