
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan meluluskan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2025 berjumlah RM5 juta kepada seluruh anggota perkhidmatan awam negeri dengan nilaian RM500 seorang.
Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Exco, melibatkan kira-kira 9,000 kakitangan di pelbagai sektor.
Bagi memberi keselesaan dan kemudahan menyambut Aidilfitri, kerajaan negeri turut bersetuju mengumumkan cuti peristiwa pada Ahad, 30 Mac ini.
“Kelantan sememangnya bercuti pada hari Jumaat dan Sabtu, jadi cuti ini akan disambung pada Ahad, diikuti Hari Raya Aidilfitri pada Isnin dan Selasa,” kata Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.
Beliau berharap rakyat Kelantan dapat memanfaatkan tempoh cuti ini untuk merapatkan hubungan silaturrahim, bukan sahaja sesama keluarga tetapi juga dengan sahabat handai.
“Moga rakyat kita hidup dalam suasana harmoni antara satu sama lain, dan keharmonian ini dapat dijalinkan bersama masyarakat bukan Islam sampai bila-bila,” tambahnya.
Dalam pada itu, Menteri Besar turut mengumumkan Majlis Aidilfitri bersama anak perantau akan diadakan pada 2 Syawal, pukul 8.00 malam di Dewan Yayasan Islam Kelantan.
Beliau menyeru anak Kelantan di perantauan untuk hadir ke majlis tersebut bagi mengeratkan hubungan sesama mereka.
Pada sidang media selepas mesyuarat Exco, beliau turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Kelantan. – HARAKAHDAILY 26/3/2025











