
KOTA BHARU: Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan melawat kediaman Hakim Mahkamah Syariah Bachok yang musnah akibat kebakaran yang berlaku pada Isnin lalu.
Beliau berkata, Zulkifli Muhamad bukan sekadar sahabat, malah pernah menjadi salah seorang pelajarnya ketika bertugas sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Menurutnya kebakaran yang berlaku di Kampung Bunut Payong dua hari lalu telah memusnahkan lebih 500 kitab pengajian yang dikumpulkan ketika masih belajar di Timur Tengah.
“Hari ini saya berkesempatan menziarahi beliau bukan sekadar kenalan, beliau juga pernah menjadi pelajar saya di UIA dalam program Diploma Pentadbiran Kehakiman Islam.
“Saya dapat rasakan betapa besarnya kehilangan ini buat beliau dan keluarga, namun alhamdulillah mereka semua selamat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook semalam.
Turut hadir dalam lawatan itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bunut Payong, Shaari Mat Yaman dan Pegawai Agama Jajahan Bachok, Suratemi Mat Yusof.
Media sebelum ini melaporkan Zulkifli, 58 yang bertugas sebagai imam tarawih di Masjid Langgar di sini dimaklumkan mengenai kejadian tersebut sebelum bergegas pulang ke rumah.
Kejadian yang berlaku kira-kira pada jam 9 malam itu ketika sebahagian ahli keluarganya tiada di rumah kerana menunaikan solat tarawih di masjid berhampiran.
Kebakaran turut memusnahkan lebih 500 kitab pengajian agama Islam yang menjadi sumber rujukan peribadi dan sebuah kenderaan pacuan empat roda. – HARAKAHDAILY 20/3/2025













