
GOMBAK: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, menegaskan bahawa sebarang dasar pembangunan perlu mengambil kira keseimbangan demografi dan integrasi kaum di kawasan bandar bagi memastikan kestabilan jangka panjang.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, walaupun kerajaan mempunyai hak mencadangkan sesuatu dasar, ia perlu melalui proses perbincangan dan perbahasan yang menyeluruh, selain mendengar pandangan pelbagai pihak sebelum dilaksanakan.
“Kita jangan anggap bahawa pandangan kita sahaja yang betul. Kerajaan boleh mencadang, tetapi perlu dibentang, dibahas, dan mendengar pelbagai sudut pandangan.
“Kita tidak menentang pembangunan, tetapi yang dibangkitkan adalah kebimbangan terhadap perubahan demografi pengundi di bandar-bandar.
“Apa jaminan supaya integrasi kaum berlaku dengan lebih harmoni dan tidak dimonopoli oleh satu kaum?” katanya kepada media di sini malam tadi.
Kesan pembangunan semula kawasan bandar
Mengulas isu pembangunan semula kawasan perumahan lama seperti Flat Pekeliling dan Kampung Kerinchi, Tuan Ibrahim menegaskan bahawa perubahan nilai hartanah memberi kesan kepada penduduk asal, terutamanya mereka daripada golongan berpendapatan rendah.
“Dulu mungkin Flat Pekeliling mempunyai 60 hingga 70 peratus penduduk Melayu, termasuk juga kaum lain seperti India dan Cina, kerana mereka mampu membeli dengan harga sekitar RM100,000 hingga RM150,000.
“Tetapi apabila bangunan itu diruntuhkan dan diganti dengan kediaman baharu bernilai antara RM600,000 hingga lebih RM1 juta, siapa yang mampu membeli? Pampasan RM400,000 yang diberikan kepada pemilik asal pun tidak mencukupi untuk memiliki rumah baharu,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri Cheka itu menegaskan bahawa perkara sama turut berlaku di Kampung Kerinchi, di mana pembangunan semula menyebabkan penduduk asal terpaksa mencari kediaman lain kerana tidak mampu memiliki unit yang baru dibina.
Pembangunan perlu seimbang
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pahang itu turut menekankan bahawa isu itu bukan soal perkauman, tetapi berkaitan dengan keseimbangan pemilikan hartanah dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.
“Kita tak nak apa yang penjajah tinggal pada kita dulu penjajah datang dia bawa orang India dia letakkan di estet, orang Cina diletakkan kawasan bandar, orang Melayu letak kawasan kampung, kita tengok wujud ketidakseimbangan.
“Bayangkan kalau sekiranya ada pilihan raya bandar raya (kerajaan tempatan) pula akan datang sebagai contoh. Maka dia akan tidak wujudkan kestabilan. Jadi isunya bukan menentang pembangunan. Isunya bukan menolak rumah kecil perlu dibina,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa pembangunan di kawasan bandar masih boleh dilaksanakan tanpa perlu meminda undang-undang, seperti yang dilakukan di Kampung Kerinchi dan Flat Pekeliling sebelum ini.
“Sekarang pun kerajaan boleh buat. Kampung Kerinchi buat tanpa ubah rang undang-undang pun. Flat Pekeliling dibuat tanpa pinda undang-undang pun boleh dibuat.
“Pembangunan Kampung Baru sekarang pun sedang berjalan tanpa pinda undang-undang pun. Jadi bagi kita ialah kalau kita nak paksa juga, kerajaan boleh paksa sebab dia ada kuasa tapi implikasi pada masa depan.
“Ini bukan soal cakap soal Melayu, Cina, India bukan. Soalnya pemilikan itu biar wujud keseimbangan antara kaum-kaum yang ada negara kita.
“Sebab bukan orang Melayu saja miskin orang India pun ramai miskin. Orang Cina pun ramai miskin. Jadi oleh kerana itu ada golongan golongan ini perlu diberi ruang kepada mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/3/2025











