Muslimat Permatang Pauh ziarah aktivis veteran

Peserta ziarah bersama aitivis veteran Muslimat PAS.
- Advertisement -

PERMATANG PAUH: Dewan Muslimat PAS Kawasan Permatang Pauh menganjurkan Program Ziarah Apresiasi Aktivis Muslimat sebagai tanda penghargaan kepada aktivis muslimat yang pernah berjuang dalam gerakan Islam PAS di kawasan ini.

Program bermula dengan pelepasan rombongan dari Masjid Batu Kampung Pertama oleh ADUN Permatang Pasir yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Permatang Pauh, Amir Hamzah Abdul Hashim..

- Advertisement -

Peserta kemudian bergerak dalam tiga kumpulan mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Seberang Jaya, Permatang Pasir dan Penanti, bagi menziarahi bekas aktivis muslimat yang kini uzur atau mempunyai kekangan lain yang menghalang mereka terus aktif dalam jemaah.

Menurut Ketua Dewan Muslimat Kawasan Permatang Pauh, Ustazah Nor Hapiza Saad, program ini bukan sekadar lawatan biasa tetapi sebagai usaha mengukuhkan ukhuwah serta melepaskan rindu kepada muslimat yang banyak berjasa dalam perjuangan Islam di Permatang Pauh.

“Mereka adalah insan-insan yang telah merintis jalan perjuangan ini. Walaupun tidak lagi berada di barisan hadapan, jasa dan pengorbanan mereka tetap dikenang,” katanya.

Selain menyantuni aktivis veteran, katanya program yang diusahakan oleh Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial ini juga menjadi platform bagi Muslimat PAS Permatang Pauh untuk bertukar-tukar pandangan dan mengambil inspirasi daripada pengalaman mereka yang terdahulu. – HARAKAHDAILY 20/3/2025

- Advertisement -