LIMA 2026: Adakah Langkawi dapat geran sepatutnya?

Senator Abdul Nasir Idris
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kedudukan Langkawi dalam perancangan Tahun Melawat Malaysia 2026 dipersoalkan apabila timbul pertanyaan sama ada pulau itu menerima dana atau geran secukupnya.

- Advertisement -

Senator Abdul Nasir Idris berkata, selain Sabah, Langkawi juga perlu diberi perhatian dalam aspek peruntukan bagi memastikan destinasi pelancongan utama itu bersedia menyambut pelancong serta acara bertaraf antarabangsa.

“Adakah Kedah khususnya Langkawi mendapat dana ataupun geran yang sepatutnya terutama dalam persiapan sambutan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) pada 2026 akan datang?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan, berkata beliau tidak dapat memberikan jumlah peruntukan tepat pada masa kini.

“Dari sudut jumlahnya saya tidak dapat sediakan pada pagi ini kerana data itu tidak bersama saya, tapi saya akan berikan secara bertulis berapa yang telah dibantu oleh pihak kementerian kepada Langkawi pada 2024,” katanya.

Sebelum itu, beliau menjawab soalan Senator Datuk Bobbey Suan yang meminta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan inisiatif kementerian dalam membantu pengusaha produk pelancongan di Sabah menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 khususnya dalam bentuk geran pembangunan dan pelaksanaan program berskala antarabangsa. – HARAKAHDAILY 20/3/2025

- Advertisement -