Lantang Pemuda Umno boleh ubah pendirian DAP?

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pemuda Umno sewajarnya mengambil positif ucapan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan memahami maksud yang tersirat di dalamnya.

- Advertisement -

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah, Ustaz Nasrun Othman berkata, sekiranya ia diambil secara literal, kemungkinan ucapan Menteri Besar itu dianggap penghinaan bagi mereka.

“Namun kalau dilihat pada sisi lain, apa yang diperkatakan oleh Sanusi itu, adalah suatu hakikat yang sedang berlaku hari ini. Tetapi mengapa Pemuda Umno tiba-tiba rasa terkesan?

“Walhal ia tidaklah seteruk jika dibandingkan penghinaan pemimpin DAP yang mengibarat mereka seperti seekor lalat,” katanya mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh

Akmal mahu menghadiahkan cermin kepada Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu kononnya agar melihat kembali ketika PAS bersama DAP di dalam Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini.

Dalam kenyataan itu juga, beliau turut mempersoalkan sama ada PAS pernah menegur DAP ketika menjadi rakan PR, sepertimana Pemuda Umno menegur DAP hari ini.

Justeru soal Nasrun, adakah kelantangan Pemuda Umno itu boleh mengubah pendirian mahupun kenyataan pemimpin DAP yang bersifat kontroversi hari ini.

Sedangkan katanya, ketegasan PAS mempertahankan negara Islam sebelum ini, sehingga mengundurkan DAP daripada PR.

“Adakah kelantangan Pemuda Umno itu turut disokong oleh rakan-rakan sebantal dalam kerajaan hari ini? Atau adakah boleh mengubah wacana mengikut seperti apa yang diharapkan mereka?

“Jawapannya pastinya tidak. Malah kelantangan itupun belum tentu mampu menjadi penyebab DAP keluar daripada pakatan mereka,” tambah beliau.

Malah ujarnya, Pemuda Umno perlu sedar, keberanian dan kelantangan mereka hanya dianggap ibarat lalat sahaja oleh pemimpin DAP.

“Ini bukan daripada mulut Presiden PAS, Tuan Guru Tan Sri Abdul Hadi Awang, atau MB Sanusi, tetapi ini dari mulut pemimpin DAP sendiri,” tegasnya lagi.

Terdahulu, tular video ucapan Sanusi ketika Pelancaran Jentera PN Ayer Kuning, di mana beliau berseloroh mahu menghadiahkan kain batik bercorak roket kepada Pemuda Umno.

Pada ucapan itu beliau mendakwa Barisan Nasional (BN) sanggup ‘membuang’ Perikatan Nasional (PN) dan lebih memilih DAP yang dimusuhi berpuluh tahun untuk menjadi rakan sebilik, rakan selimut dan sekarang rakan sebantal.

“Kalau begitu sikap Pemuda Umno ni…eloklah dihadiahkan baju bercorak roket dan boleh dipakai dengan kain batik bercorak roket juga nanti,” kata Nasrun lagi. – HARAKAHDAILY 20/3/2025

- Advertisement -