
GOMBAK: PAS Wilayah Persekutuan telah menganjurkan Majlis Iftar Perdana bersama Timbalan Presiden PAS dan Bendahari PAS Pusat yang berlangsung di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), di sini semalam.
Majlis itu dihadiri hampir 300 tetamu dari kalangan pimpinan serta ahli PAS Wilayah Persekutuan.
Majlis itu dibuat bertujuan untuk membuat pungutan dana bagi pembinaan atau pembelian tanah bagi Kompleks PAS Pusat yang berbaki sebanyak RM1.8 juta.
Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya dalam ucapan aluannya mengajak para dermawan memberikan sumbangan untuk membina Kompleks PAS Pusat.
“Kalau kita nak membeli saham, maka kita akan cari saham yang terbaik, saham yang mampu memberikan keuntungan. Maka kalau kita nak beri sumbangan bagi saya sumbangan untuk membina kompleks PAS Pusat ini ialah sumbangan yang terbaik.
“Sumbangan yang sahamnya bukan sekadar mengalir di dunia tapi akan mengalir sampai ke akhirat insya-Allah.
“Dan sumbangan itu sangat-sangat hebat sebab setiap inci perjuangan yang dilakukan oleh PAS Pusat dan PAS seluruh Malaysia ini, maka semua pihak yang terlibat akan mempunyai sahamnya yang tersendiri,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Bendahari PAS Pusat, Dato’ Iskandar Abdul Samad serta Timbalan Pesuruhjaya Wilayah Persekutuan, LAr Fauzi Abu Bakar dam pimpinan lain.
Dalam majlis itu juga, PAS Wilayah telah membuat serahan RM20,000 dan 10 gram kepingan dinar melalui Pesuruhjayanya kepada Timbalan Presiden PAS untuk Dana Kompleks PAS Pusat
Sementara itu, Tuan Ibrahim dalam ucapan khasnya mengajak semua ahli PAS supaya memiliki saham dalam pembinaan Kompleks PAS Pusat itu kerana ganjaran yang berterusan sehingga hari kiamat.
“Kalau kita wakaf harta kita untuk beli tanah bermakna dia jadi wakaf sampai kiamat. Sebab tanah ni akan terus kekal di situ. Berbeza dengan bangunan berbeza dengan benda lain, mungkin sampai satu masa dia rosak dia musnah terpaksa dibina baru. Tapi tanah ini tempat insya-Allah kekal.
“Sebab itu saya minta supaya jangan ada seorang pun ahli PAS yang tak ada saham dalam tanah ni. Semua ahli PAS semua anak-anak ahli PAS, tuan-tuan cuba wakaf di atas nama anak kita.
“Katalah anak kita ada lapan orang, 100 orang kita wakaf tanah anak kita atas nama mak kita, atas nama ayah kita supaya mereka juga dapat pahala berkekalan dan kalau boleh dipanjangkan pada semua ahli keluarga kita.
“Jangan seorang pun anak cucu kita tak ada saham. Saya cucu saya tak ramai baru 17 (orang). Semua cucu saya saya letak saham dia ada saham dalam tanah ini. Setiap orang cucu saya wakafkan atas nama dia,” katanya.
Beliau memaklumkan bahawa PAS Kedah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak RM170,000 dalam majlis Sambutan Nuzul Quran dan pengumpulan dana bagi Kompleks PAS Pusat.
Sebelum itu katanya, PAS Johor berjaya memungut kutipan sebanyak RM110,000, manakala PAS Terengganu telah pun menyerahkan sumbangan sebanyak RM100,000.
Manakala katanya, rekod tertinggi hingga kini adalah kutipan sumbangan daripada PAS Negeri Kelantan iaitu sebanyak RM540,000.
Selain itu, sumbangan orang ramai juga boleh dibuat melalui akaun Bank Islam Badan Perhubungan PAS Wilayah 1402 3010 00 0639. – HARAKAHDAILY 20/3/2025











