Kompleks PAS Pusat: PAS Kedah sumbang RM160,000

- Advertisement -

ALOR SETAR: Sebanyak RM160,000 berjaya dikumpul oleh PAS Kedah untuk Dana Kompleks PAS Pusat, sempena Majlis Nuzul Al-Quran, di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, di sini malam kelmarin.

- Advertisement -

Menteri Besar Kedah yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mendahului pemberian sumbangan peribadi sebanyak RM10,000.

Seterusnya diikuti Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim, Yayasan Amal Malaysia (YAM) Kedah dan Arus Tekad Sdn Bhd yang juga masing-masing menyumbang sebanyak RM10,000.

Jumlah keseluruhan sumbangan dana itu termasuk penjualan meja Iftar Perdana sempena program Nuzul Al-Quran serta kutipan derma orang ramai diserahkan kepada Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Program yang diadakan itu, dimulakan dengan iftar beramai-ramai sebelum para hadirin bersama-sama menunai solat Isyak dan bertarawih di kompleks berkenaan.

Sementara itu, pada sebelah pagi dan petang diadakan majlis tadarus Al-Quran melibatkan penyertaan guru-guru PASTI seluruh Kedah dan Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah.

Pada sebelah malam diadakan ceramah Nuzul Al-Quran yang menampilkan penceramah, antaranya Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Pada malam itu juga diadakan gimik pelancaran Tafsir Bersepadu Juz Amma karya Ustaz Zawawi Ahmad yang disempurnakan oleh Tuan Ibrahim.

Turut dipancarkan video ucapan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk tatapan hadirin. – HARAKAHDAILY 20/3/2025

- Advertisement -