Isu ePlacement dedah kepincangan pengurusan KKM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lajnah Kesihatan Dewan Muslimat PAS Malaysia memandang serius isu kelemahan pengurusan dalam sistem ePlacement hingga memberi kesan negatif terhadap ribuan Pegawai Perubatan yang sedang berusaha mendapatkan penempatan mereka.

- Advertisement -

Pengerusinya, Dr Reen Mohd Amin berkata, kegagalan ini bukan sahaja menjejaskan perancangan pegawai perubatan, malah menunjukkan kelemahan ketara dalam aspek ketelusan, keberkesanan serta kecekapan pihak berwajib menguruskan sistem kritikal ini.

“Isu kelemahan sistem ePlacement bukan sekadar isu teknikal tetapi melibatkan aspek kepercayaan terhadap integriti pengurusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mengendalikan tenaga kerja perubatan negara.

“Laporan menunjukkan sistem ePlacement mengalami lebih 19 juta hits pada 27 Februari 2025, yang telah menyebabkan gangguan teknikal serius.

“Ini bukan sahaja menimbulkan persoalan mengenai perisian atas talian yang dibina oleh KKM, tetapi juga menonjolkan ketiadaan langkah mitigasi untuk menangani jumlah akses yang tinggi,” katanya dalam kenyataan media di laman sosial. 

Beliau berkata, dalam dunia digital semakin maju, sistem sepenting ini seharusnya memiliki perlindungan dan pertahanan kukuh daripada sebarang serangan siber dan juga bebas dari potensi manipulasi menyebabkan perisian terganggu.

Tambah Reen lagi, sistem ini seharusnya mempunyai pertahanan dan perlindungan daripada serangan ‘Denial of Service’ atau ‘Distributed Denial of Service’ atau sesi identiti palsu yang menghantar ‘bogus data’ (maklumat jelmaan) ke pengkalan data yang boleh merosakkan data dari serangan kebanjiran data palsu ini.

Justeru katanya, apa yang lebih mengecewakan, kegagalan sistem ini telah menyebabkan pembatalan keputusan ePlacement pertama, dan seterusnya menimbulkan keresahan dalam kalangan pegawai perubatan yang telah bersedia untuk melapor diri.

“Pengumuman tarikh baharu yang dilakukan secara tergesa-gesa serta di luar waktu bekerja normal menunjukkan kelemahan dalam perancangan dan komunikasi KKM kepada pihak yang terlibat.

“Sistem ePlacement yang digunakan ketika ini berasaskan prinsip ‘siapa cepat, dia dapat’, menyebabkan pegawai perubatan terpaksa berebut penempatan tanpa mengambil kira keperluan sebenar dan merit individu.

“Ini bukan sahaja tidak adil tetapi juga menormalisasikan budaya sistem penempatan yang tidak professional,” bidasnya.

Tambah beliau, Lajnah Kesihatan DMPM menyokong penuh cadangan untuk menggantikan sistem ini dengan kaedah berasaskan merit yang lebih adil dan telus.

“Kami juga ingin menekankan bahawa sistem yang baik harus mampu mengutamakan kesejahteraan pegawai perubatan dan bukan sekadar mengutamakan kepentingan sistem semata-mata.

“Tindakan mengubah tarikh pemilihan berulang kali tanpa mempertimbangkan implikasi ke atas pegawai perubatan adalah tidak wajar dan memperlihatkan kelemahan dalam aspek perancangan strategik,” jelasnya.

Sehubungan itu, Lajnah Kesihatan DMPM turut mendesak KKM agar membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua pegawai perubatan yang terkesan akibat kelemahan sistem ini.

Kata beliau lagi, kegagalan pengurusan bukanlah kesalahan pegawai perubatan dan mereka tidak seharusnya menanggung akibat daripada kelemahan pentadbiran.

“KKM perlu melaksanakan sistem penempatan yang lebih adil berdasarkan merit dan keperluan perkhidmatan kesihatan negara.

“KKM perlu menambah baik sistem digital dengan memastikan aspek keselamatan siber dipertingkatkan, terutama dalam menghadapi serangan atau gangguan teknikal yang boleh menjejaskan kestabilan sistem.

“Seterusnya, KKM perlu memastikan tarikh pemilihan dan keputusan penempatan ditetapkan lebih awal dengan mempertimbangkan faktor cuti umum serta kesesuaian masa untuk semua Pegawai Perubatan yang terlibat,” katanya.

Selain itu Dr Reen berkata, KKM perlu mengambil kira kesan psikologi dan bebanan kerja pegawai perubatan dalam setiap dasar yang diperkenalkan, termasuk memastikan komunikasi lebih baik serta telus dalam semua urusan berkaitan ePlacement.

“Sebagai barisan hadapan yang berkorban untuk kesihatan rakyat, pegawai perubatan berhak menerima layanan yang lebih adil dan sistem yang lebih efisien.

“DMPM menyeru agar pihak berkaitan mengambil serius isu ini dan melaksanakan tindakan yang sewajarnya demi kepentingan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/3/2025

- Advertisement -