DMPM sokong tambah jumlah ADUN wanita

Di DUN Terengganu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menyambut baik dan memberi sokongan penuh terhadap cadangan untuk Kerajaan Negeri Terengganu meminda Perlembagaan Negeri bagi menambah jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) wanita.

- Advertisement -

Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, langkah ini merupakan satu tindakan progresif yang selari dengan usaha memperkasakan peranan wanita dalam kepimpinan dan pentadbiran negeri.

“DMPM percaya bahawa kehadiran lebih ramai ADUN wanita akan memperkukuhkan lagi suara wanita dalam perbincangan dasar dan perancangan pembangunan negeri, khususnya dalam aspek yang melibatkan kebajikan keluarga, pendidikan, ekonomi, serta kesejahteraan sosial masyarakat.

“DMPM juga yakin bahawa penambahan ADUN wanita bakal meningkatkan keberkesanan pentadbiran dan membawa keseimbangan dalam proses membuat keputusan yang lebih inklusif dan menyeluruh,” katanya menerusi kenyataan media di laman sosial.

Beliau berkata, wanita merupakan aset penting dalam pembangunan negara, dan penglibatan mereka dalam politik serta pentadbiran adalah satu keperluan yang tidak boleh dinafikan.

Justeru, Ustazah Nuridah menyeru semua pihak, termasuk wakil rakyat dan kepimpinan negeri, agar memberikan sokongan padu kepada cadangan pindaan ini demi kepentingan rakyat dan kemajuan negeri Terengganu secara keseluruhannya.

Tambah beliau, DMPM akan terus komited dalam memperjuangkan peranan wanita dalam kepimpinan serta memastikan lebih banyak peluang diberikan kepada wanita untuk terlibat secara aktif dalam pembangunan negara. – HARAKAHDAILY 20/3/2025

- Advertisement -