Pastikan MMM tidak jadi alat kawal kebebasan media

Senator Abdul Nasir Idris
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Senator Abdul Nasir Idris meminta penjelasan kerajaan bagi memastikan Majlis Media Malaysia (MMM) tidak disalahgunakan sebagai alat untuk mengawal mahupun membatasi kebebasan media terutama yang kritikal terhadap kerajaan.

- Advertisement -

Menurut beliau, Rang Undang-Undang MMM telah memberi kuasa yang luas kepada majlis itu untuk mengawal selia media termasuk aspek pengeluaran lesen dan mewujudkan garis panduan.

“Isu penting ini perlu dibahaskan supaya keseimbangan kuasa yang diberikan kepada MMM ini untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa dan memastikan kuasa yang diberikan kepada MMM ini tidak menindas kebebasan media.

“Bagaimana kerajaan memastikan bahawa Majlis Media Malaysia akan bertindak secara telus, adil dan mewujudkan mekanisma semak dan imbang untuk memastikan kuasa yang diberikan itu tidak digunakan dalam membataskan kebebasan bersuara?

“Dalam penubuhan MMM ini, penting untuk kita sama-sama menilai siapa yang terlibat dalam majlis ini dan sama ada penglibatan semua pihak penting dalam memastikan industri media ini berjalan dengan sebaiknya,’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia 2024 di Dewan Negara, hari ini.

Tambahnya, media sosial memainkan peranan penting di dalam penyebaran maklumat dan merupakan platform bagi mewujudkan kebebasan bersuara.

“RUU ini seharusnya memperjelaskan bagaimana ia melibatkan platform media sosial serta memberi perlindungan kepada wartawan dan pengamal media yang bertindak sebagai pengawas kepada kuasa dan masyarakat,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/3/2025

- Advertisement -