
KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) mengecam sekeras-kerasnya tindakan kejam rejim Zionis-Israel yang terus menindas rakyat Palestin, termasuk serangan udara terbaru mengorbankan lapan petugas kemanusiaan dari Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Beit Lahiya, Gaza.
Presiden GAMIS Nasional, Mohammad Azamuddin Sahar berkata, serangan itu bukan sahaja meragut nyawa sukarelawan sedang membantu penduduk terjejas, malah membuktikan sikap zalim Israel yang tidak berperikemanusiaan.
“Mereka syahid dalam keadaan tangan mereka masih sibuk membantu saudara-saudara kita yang kehilangan tempat tinggal, yang kelaparan, yang ketakutan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara yang dilaporkan terkorban ialah Mahmoud Yahya Al-Sarraj, Bilal Hossam Oqeila, Mahmoud Samir Oselim, Mahmoud Khaled Oselim, Mohammed Al-Ghafeer, Hazem Ghareeb, Bilal Abu Matar, dan Ahmad Hamad.
Menurutnya, dalam tempoh 48 jam terakhir sahaja, serangan Israel telah meragut lebih 500 nyawa termasuk kanak-kanak, wanita, dan orang tua yang tidak bersenjata.
“Semuanya tidak bersenjata, tidak bersalah, tetapi tetap menjadi sasaran. Bayi-bayi yang belum sempat mengenal dunia hancur berkecai.
“Seorang ibu ditemui mati dalam keadaan memeluk erat anaknya yang sudah tidak bernyawa,” jelasnya.
Beliau menyifatkan pembunuhan itu sebagai satu tindakan keji dan terancang.
“Sikap khianat Netanyahu telah membatalkan gencatan senjata menunjukkan sifat terkutuknya. Ini bukan peperangan, ini pembunuhan terancang!” katanya.
Netanyahu mengkhianati gencatan senjata
Mohammad Azamuddin turut mengecam tindakan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang membatalkan gencatan senjata fasa kedua, sekali gus menafikan sebarang usaha ke arah keamanan di wilayah bergolak itu.
“Mereka hanya mahukan lebih banyak darah, lebih banyak penderitaan. Sampai bila dunia mahu berdiam diri?” katanya.
GAMIS katanya, menggariskan beberapa tuntutan mendesak kepada pihak berkepentingan iaitu pertamanya menuntut masyarakat antarabangsa dan badan-badan global segera mengecam serta mengambil tindakan keras terhadap kekejaman Netanyahu dan rejim Zionis!
“Jika dunia membiarkan pembunuhan ini terus berlaku, mereka juga bersubahat dalam kezaliman ini!” tegasnya.
Kedua katanya, GAMIS menggesa Kerajaan Malaysia mengambil langkah segera untuk melindungi sukarelawan kita di Gaza.
“Mereka pergi membawa bantuan, bukan untuk dikorbankan oleh tangan-tangan penjajah!” terangnya.
“(Tuntutan ketiga) Gunakan suara kita, gunakan media sosial kita! Jangan biarkan naratif dunia dikawal oleh pembohongan rejim Zionis!
”Dan yang paling penting, teruskan tembakan doa’ tanpa henti-kerana doa adalah senjata mukmin yang paling ampuh.
“Mereka bukan sekadar angka. Mereka adalah nyawa, mereka adalah keluarga, mereka adalah darah daging kita! Hari ini mereka syahid, esok siapa lagi? Kita tidak akan diam. Palestin tidak keseorangan?” tegasnya. – HARAKAHDAILY 19/3/2025











