
SHAH ALAM: PAS Negeri Selangor menuntut kerajaan mengambil tanggungjawab dan menyelesaikan isu ketiadaan beras putih tempatan (BPT) dengan segera serta menyeluruh.
Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor, Zurk Ahmad berkata, makanan ruji negara itu tidak boleh menjadi isu berpanjangan tanpa penyelesaian.
“(Tarikh) 1 Mac sudah berlalu, tetapi rakyat masih bergelut untuk mendapatkan beras putih tempatan pada harga subsidi seperti yang dijanjikan kerajaan.
“Sehingga hari ini kita melihat bekalan hanya tertumpu di beberapa kawasan sahaja dengan kuantiti yang sangat sedikit. Adakah masalah bekalan belum selesai? Adakah isu pengagihan belum ditangani?
“Rakyat berhak mendapat jawapan yang jelas dan penyelesaian yang tuntas. Kerajaan tidak boleh hanya tahu umum dan berjanji tanpa memastikan pelaksanaannya berjalan lancar di lapangan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Zurk, bermula isu penukaran label beras, kartel yang tidak pernah dibongkar hingga kepada janji bekalan BPT yang masih kabur, semuanya membuktikan ketidakcekapan Kerajaan Madani dalam menguruskan keperluan asas rakyat.
“Lebih membimbangkan apabila kerajaan dilihat seolah-olah mengambil ringan akan isu ini dengan kenyataan-kenyataan yang bercanggah, maklumat yang tidak tepat dan janji yang tidak ditunaikan. Sampai bilakah rakyat harus terus diperdaya,” soalnya.
Media sebelum ini melaporkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mendakwa Pasukan Petugas Khas Bersepadu Operasi BPT mendapati punca kekurangan bekalan BPT adalah disebabkan masalah struktur harga belian padi, kos pengeluaran beras dan harga siling BPT. – HARAKAHDAILY 4/3/2025











