
KUALA LUMPUR: Ketelusan pemberian projek kerajaan menjadi persoalan apabila diminta memberi penjelasan mengenai mekanisme pelaksanaan projek kerajaan, khususnya kontrak secara rundingan terus.
Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) berkata, kerajaan perlu memastikan pemberian projek mematuhi prinsip ketelusan, akauntabiliti dan nilai untuk wang bagi mengelakkan kelewatan serta kegagalan projek berkepentingan awam.
“Bagaimanakah kementerian memastikan bahawa semua pemberian projek sama ada secara tender, terbuka atau terus mematuhi prinsip nilai untuk wang?
“Ketelusan dan bebas daripada unsur pilih kasih atau campur tangan politik bagi mengelakkan kelewatan dan kegagalan projek kepentingan awam seperti di Sabah kembali berulang di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Menteri Ekonomi, Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli berkata, kerajaan sentiasa berusaha memastikan keadilan dalam agihan projek dan memperkasa kawal selia bagi mengelakkan kelewatan serta ketirisan dalam pelaksanaan.
Sebelum itu, beliau menjawab soalan Riduan Rubin (BEBAS-Tenom) yang meminta Menteri Ekonomi menyatakan bentuk penambahbaikan yang akan dilaksanakan oleh kementerian bagi memperkemas dan memperkasa proses pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) bagi mengelakkan kelewatan dan kegagalan projek berkepentingan awam di Sabah kembali berulang. – HARAKAHDAILY 20/3/2024











