
SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seorang wartawan sebuah portal berita tempatan bagi membantu siasatan kes rasuah yang dikaitkan dengan urusan pekerja asing.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan bahawa tangkapan dilakukan di sebuah hotel Shah Alam sekitar jam 11 malam kelmarin.
Beliau menjelaskan bahawa penahanan itu tiada kaitan dengan laporan portal tersebut mengenai isu penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI), sebaliknya berhubung dakwaan permintaan wang daripada seorang ejen pekerja asing.
“Siasatan mendapati wartawan itu pada mulanya dikatakan meminta RM100,000 daripada ejen berkenaan sebagai balasan untuk tidak menerbitkan dua artikel berkaitan urusan pekerja asing.
“Namun, jumlah itu dikurangkan kepada RM20,000 sebelum transaksi dilakukan. Ejen itu kemudiannya membuat laporan kepada SPRM, dan pihak kami menjalankan operasi khas untuk menangkap suspek.
“Wang tunai RM20,000 diserahkan kepada wartawan itu dalam pertemuan di hotel sebelum pegawai SPRM melakukan tangkapan di lokasi kejadian,” katanya menerusi portal tempatan, semalam.
Susulan penahanan itu, wartawan lelaki berkenaan telah dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada Sabtu untuk permohonan reman dan mahkamah membenarkan tempoh tahanan selama empat hari sehingga Selasa.
Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman berat bagi kesalahan menerima suapan.
Terdahulu, Pengarang Eksekutif Malaysiakini, RK Anand dan Pengarang Urusan, Ng Ling Fong terkejut dengan dakwaan melibatkan wartawannya yang berkhidmat sejak 2018.
Wartawan itu ditahan lewat malam kelmarin berkaitan artikel mengenai kumpulan kartel Pakistan menyeludup pekerja asing ke Malaysia.
Mereka berkata, Malaysiakini belum mendengar penjelasan daripada wartawan tersebut, namun memberi jaminan tidak akan berkompromi atas sebarang salah laku.
“Malaysiakini juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa,” katanya.
Pada 22 Februari lalu, portal berita dalam talian itu memetik sumber bahawa bekas pegawai imigresen dan kini bergelar ‘Datuk’ sebagai dalang di sebalik kumpulan kartel yang didakwa beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). – HARAKAHDAILY 2/3/2025











