
KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang, Ustaz Mohd Nassuruddin Daud, mengingatkan umat Islam supaya memahami konsep derma atau sedekah yang sebenarnya menurut Islam.
Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu, menderma atau bersedekah itu sebenarnya menderma kepada diri sendiri dan bukannya untuk orang lain.
“Ini kerana dengan menderma itulah yang akan membantu kita di akhirat nanti dan bukannya berhabis duit begitu sahaja sehingga menjadi sia-sia di muka bumi,” ujarnya ketika melancarkan Tabung Ihya Ramadan di Medan Ilmu, di sini semalam.
Seru beliau, gunakan rezeki kurniaan Allah pada jalan yang baik agar tidak tergolong dari golongan yang dibinasakan oleh malaikat akibat kedekut menderma.
Hadir sama pada majlis itu, Exco Kerajaan Negeri, Hilmi Abdullah dan Mohd Asri Mat Daud, serta wakil-wakil rakyat, dan lain-lain pimpinan.
Selain sumbangan dari agensi kerajaan negeri, orang ramai turut berpeluang menyalurkan sumbangan yang diserahkan kepada Menteri Besar untuk tabung berkenaan.
Sementara itu, Hilmi ketika ditemui selepas majlis pelancaran berkata, Tabung Ihya Ramadan tahun ini dijangka mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai serta penyumbang dari pelbagai peringkat, termasuk dari luar Kelantan.
Ini kerana katanya, Madinah Ramadan tahun ini lain dari yang lain, itu sempena dua dekat Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) serta ulang tahun ke-33 Madinah Ramadan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri itu berkata, sebelum ini pihaknya telah mengadakan majlis hi-tea bersama penaja dari 32 syarikat korporat di Kota Darulnaim.
“Hari ini kita buka peluang kepada seluruh rakyat Kelantan, termasuk agensi-agensi kerajaan negeri, untuk menyumbang bagi menampung perbelanjaan sepanjang Ramadan di Madinah Ramadan,” katanya selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Madinah Ramadan.
Menurut beliau, wang sumbangan akan digunakan bagi menanggung kos harian, termasuk penyediaan juadah berbuka puasa untuk 1,000 hingga 2,000 pengunjung setiap hari.
“Pada hari biasa jumlah pengunjung sekitar 1,000 orang, namun pada hujung minggu atau hari tertentu ia meningkat kepada 1,500 hingga 2,000 orang,” jelasnya.
Beliau berkata, kos penyediaan juadah berbuka sahaja dianggarkan RM600,000, iaitu separuh daripada perbelanjaan keseluruhan Madinah Ramadan yang melebihi RM1 juta.
Majlis pelancaran Tabung Ihya Ramadan berlangsung hari ini, dan orang ramai dialu-alukan untuk menyumbang sama ada di Madinah Ramadan atau melalui saluran yang disediakan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI).
Beliau turut menyeru orang ramai hadir memeriahkan Madinah Ramadan, lebih-lebih lagi tahun ini bersempena ulang tahun ke-33 program tersebut yang bakal menampilkan kelainan berbanding tahun sebelumnya.
Para dermawan yang bermurah hati dan mengejar fadilat pahala sedekah Ramadan boleh menyumbang menerusi akaun Bank Muamalat 0301-000-5757-713 atas nama Tabung Ihya’ Ramadan. – HARAKAHDAILY 1/3/2025












