Sejauh mana tujuh inisiatif kerajaan bantu PKMS

Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mempersoalkan sejauh mana keberkesanan tujuh inisiatif kerajaan dalam membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menghadapi kenaikan kos operasi.

- Advertisement -

Beliau turut meminta penjelasan sama ada inisiatif yang diperkenalkan benar-benar memenuhi keperluan golongan tersebut serta sama ada kerajaan mempunyai pelan pemulihan yang lebih komprehensif.

“Saya ingin tahu sama ada pihak kerajaan ada merangka apa-apa pelan pemulihan yang lebih menyeluruh, seperti program subsidi upah yang pernah diperkenalkan semasa pandemik dahulu.

“Dengan tekanan bebanan kos yang semakin meningkat, adakah kemungkinan majikan beralih kepada pengambilan pekerja asing tanpa permit (PATI)?

“Jika ya, apakah langkah kerajaan dalam menangani isu ini?” ujarnya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab persoalan tersebut, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, isu subsidi upah bukan di bawah kementeriannya.

Namun, kata beliau kementeriannya akan melengkapkan usaha Kementerian Sumber Manusia dalam menyampaikan maklumat kepada pihak berkepentingan dalam sektor PMKS.

“Tahun ini, kementerian kami akan mengadakan kajian separuh penggal Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030 dan melalui kajian ini, kita akan mengadakan sesi libat urus bersama para pemegang taruh,” katanya.

Che Mohamad dalam soalan asalnya meminta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan inisiatif yang akan dilaksanakan kerajaan bagi mengurangkan beban kos operasi PMKS berikutan kenaikan gaji minimum. – HARAKAHDAILY 27/2/2025

- Advertisement -