Kartel beras: Sampai bila rakyat tanggung beban?

- Advertisement -

SHAH ALAM: Tindakan segera perlu diambil terhadap semua pihak yang terlibat berhubung isu ketiadaan beras tempatan di pasaran jika kerajaan benar-benar tegas dan serius dalam menanganinya.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad berkata, kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah mengesahkan bahawa beras putih tempatan dicampur dalam beras import dan dijual pada harga lebih mahal.

“Ini sekali gus membuktikan bahawa beras tempatan ada, namun dikawal kartel tertentu. Selama hampir dua tahun rakyat dijanjikan bekalan stabil, namun sehingga kini masalah masih berlarutan.

“Duit subsidi ratusan juta digunakan kononnya untuk membantu pesawah, tapi hakikatnya rakyat semakin sukar mendapatkan beras tempatan di pasaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, isu tersebut membuatkan kartel terus mengaut keuntungan, sementara pengilang kecil, pesawah tersepit dan beras tempatan yang sepatutnya menjadi hak rakyat kini dimanipulasi untuk kepentingan pihak tertentu.

“Kilang milik Bumiputera, pesawah, pengguna semua menjadi mangsa. Rampas jenama yang diuji, tutup kilang yang menipu. Teruskan buat pemantauan dan tindakan, jangan hanya berani bersuara di pentas ceramah.

“Sampai bila hendak dibiarkan makanan ruji negara terus dimonopoli mereka yang tamak? Sampai bila rakyat perlu menanggung akibat kelemahan kerajaan? Kerajaan perlu bertindak sekarang,” katanya.

Kajian oleh MARDI baru-baru ini mendapati bahawa 40 hingga 50 peratus daripada 5,000 sampel beras import yang diuji didapati telah dicampur dengan beras putih tempatan (BPT).

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Oktober 2023 pernah membongkar satu sindiket penipuan dalam pembekalan beras yang melibatkan sebuah syarikat di Kedah. – HARAKAHDAILY 27/2/2025

- Advertisement -