Lesen peniaga bazar dibatal jika disewa ke orang lain

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memberi amaran kepada peniaga Bazar Ramadan bahawa lesen mereka akan dibatalkan sekiranya didapati menyewakan atau menjual tapak niaga kepada pihak lain.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Negeri, Hilmi Abdullah, berkata aktiviti menyewakan atau menjual tapak kepada pihak ketiga, yang dikenali sebagai ‘Ali Baba’, sering berlaku sepanjang Ramadan.

Hilmi bagaimanapun mengakui, sukar bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengesan peniaga yang melakukan perkara ini.

“Penipuan seperti ini telah berlaku selama bertahun-tahun setiap kali bulan Ramadan.

“Bukan mudah bagi pegawai majlis untuk menangkap pelaku kerana apabila penguat kuasa pergi ke tapak bazar, individu di sana mendakwa mereka hanya bekerja untuk pemegang lesen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan ke tapak Bazar Ramadan, di sini kelmarin.

Beliau menambah, sekiranya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mempunyai bukti tapak berkenaan telah dijual kepada pihak ketiga, tindakan tegas akan diambil, termasuk pembatalan lesen.

“Kerajaan negeri memandang serius perkara ini. Setakat ini, kami belum menerima sebarang laporan mengenai penipuan ‘Ali Baba’ ini,” katanya.

Sementara itu, Hilmi turut memberitahu bahawa sebanyak 478 tapak bazar Ramadan di bawah seliaan Majlis Perbandaran Kota Bharu yang terletak di sembilan lokasi. – *HARAKAHDAILY 21/2/2025*

- Advertisement -