Fokus tugas Menteri KDN, Sanusi jaga Kedah elok dah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilihat seolah-olah mencari publisiti di Kedah sebaik sahaja diberi tanggungjawab memegang jawatan itu.

- Advertisement -

Pegawai Khas Menteri  Besar, Salmy Anas Ahmad berkata, peralihan jawatan nombor satu PH Kedah daripada Dato’ Mahfuz Omar kepada Saifuddin, dikatakan kononnya kerana PAN gagal mendapat sokongan rakyat berbanding PKR.

“Saifuddin sedar kedudukannya di dalam PH Kedah bak meniti di atas sehelai rambut. Itu sebab beliau segera memberikan kenyataan melayang tinggi untuk meyakinkan pimpinan PH dan sekutunya Umno-Barisan Nasional (BN) bagi mengakui ketokohannya menjadi pemimpin nombor satu di Kedah,” katanya.

Beliau yang mesra dengan panggilan Cikgu Anas juga menegaskan, ramai kalangan pemimpin dan ahli Umno tidak berpuas hati dengan tindakan Pengerusi BN Kedah kerana tergesa-gesa melakukan kunjung hormat ke atas Pengerusi PH Kedah baharu itu, yang kemungkinan untuk menunjukkan tanda sokongan.

Rata-rata pemimpin dan ahli-ahli bawahan parti itu jelasnya, merasa ‘terpukul’, seolah-olah parti lebih ramai ahli dan berpengalaman, mengemis kepada pemimpin parti yang ahli dan pengaruh tidak seberapa.

“Jangankan kerusi DUN, kerusi Menteri Besar Kedah pun akan dibolot PH, biarkan Umno putih mata walaupun Umno ada sejarah panjang di Kedah,” jelas beliau sebagaimana yang dirungutkan oleh sebahagian akar umbi Umno Kedah itu.

Kata Cikgu Anas lagi, dalam masa yang sama, Konvensyen Perpaduan Kedah yang diadakan baru-baru ini, tidak disertai bekas Pengerusi PH Kedah.

Tetapi yang menghairankan ujar beliau, seluruh pimpinan PAN hanya mampu mendiamkan diri dan menggetap bibir sahaja menahan ketidakpuas hati terhadap Saifuddin.

“Bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu juga dilihat seolah-olah terlalu angkuh dengan tuduhan liar serta tidak masuk akal terhadap Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, semata-mata untuk menguatkan alasannya merampas Kedah daripada PN dan PAS,” ujarnya.

Tegasnya lagi, Saifuddin sepatutnya memberi tumpuan manakah DUN yang bakal ditandinginya pada pilihan raya akan datang, sekiranya benar-benar berhasrat menjadikan Kedah ‘kerajaan menanti’ kepada PH.

“Tetapi nasihat saya, sudah-sudahlah untuk bermimpi disiang hari. Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, bukan calang-calang orang kalau nak dibandingkan dengannya.

“Lebih baik beliau (Saifuddin) fokus kepada tanggungjawabnya sebagai Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Kedah (MTPK) sekiranya betul-betul nak tunjuk hero kepada rakyat Kedah,” katanya lagi.

Sementara, beliau juga menasihatkan Menteri Dalam Negeri itu agar jangan terlalu memberi fokus kepada impiannya yang belum tentu terlaksana, sebaliknya tinjau-tinjaulah masalah negara yang semakin ‘senak’ dengan kerosakan, jenayah dan lain-lain.

Sama ada beliau sedar atau tidak ujarnya, Kuala Lumpur telah disenaraikan sebagai bandar ketiga paling berbahaya di Asia Tenggara dan kelima di Asia, menurut Numbeo’s Crime Index 2025.

“Ibu negara Malaysia tergolong antara kawasan bandar yang paling terjejas dengan jenayah di rantau ini dengan indeks jenayah sebanyak 60.4 peratus.

“Selain Kuala Lumpur, Klang dan Johor Bahru juga turut disenaraikan dalam Indeks Jenayah 2025. Jadi sebagai Menteri KDN, ‘hang buat apa?’ Jangan asyik salah Sanusi sahaja,” bidas beliau. – HARAKAHDAILY 21/2/2025

- Advertisement -