
ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah yang dikemudi oleh Perikatan Nasional (PN) diyakini mampu mempertahankan kemenangannya pada pilihan raya akan datang, demikian pandangan Setiausaha PAS Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, di sini.
Kata beliau, pentadbiran di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, bukan sahaja berjaya menjadikan Kedah sebagai destinasi pilihan para pelabur luar negara, malah pembangunan kebajikan untuk rakyat juga amat baik.
“Tiada sebab Kedah harus bertukar tangan kepada Pakatan Harapan (PH). Kalau yang sanggup umum mereka sebagai ‘kerajaan menanti’, saya rasa seperti ibarat mimpi disiang hari sahaja,” kata beliau ketika ditemui _Harakahdaily_, di Wisma Darul Aman, kelmarin.
Jelas Dato’ Wan Sukairi, pengalaman beliau ke lapangan ketika mengunjungi kedai-kedai sekitar Alor Setar serta beberapa kawasan lain di negeri itu, kebanyakannya memberi maklum balas baik terhadap kerajaan yang menerajui Kedah sekarang ini.
“Saya yakin maklum balas dari orang awam itu benar dan tepat sebab mereka tidak mengenali saya dan saya juga tidak memperkenalkan diri saya kepada mereka. Pastinya maklum balas itu lebih ‘natural’.
“Lagipun, mereka yang saya temui juga tidak menggambarkan penyokong atau ahli PAS. Jadi maklum balas mereka itu dikira tidak condong kepada mana-mana fahaman politik,” kata beliau lagi.
Dato’ Wan Sukairi yang juga Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu berkeyakinan, maklum balas positif dari orang awam itu, adalah pandangan ikhlas terhadap kerajaan negeri yang diterajui PN sekarang ini.
Lainlah ujarnya, sekiranya soalan itu ditujukan kepada ahli atau penyokong PAS, tentulah jawapan yang diperolehi sepenuhnya memihak kepada PN.
“Oleh itu saya yakin PN yang menerajui Kedah sekarang ini akan mampu mempertahankan kemenangannya pada pilihan raya akan datang. Yang nak menanti itu, biarlah dia menanti,” ujar beliau lagi. – HARAKAHDAILY 18/2/2025











