‘Kerana isu ini orang Melayu Islam marah’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Afnan Hamimi Taib Azamuddin (PN-Alor Setar) mengucapkan ‘terima kasih’ kepada Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui kerana membantu DAP menjauhkan diri mereka daripada masyarakat Melayu Islam.

- Advertisement -

Ini selepas insiden ahli parlimen blok kerajaan itu mencadangkan agar portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua.

“Kerana isu ini orang Melayu Islam marah. Bukan kami yang mulakan isu agama, kaum dan institusi raja (3R), dia sendiri yang campak, dia lontar.

“Kami respons, lagi banyak dia bercakap macam itu, lagi jauh orang Melayu daripada DAP. Terima kasih daripada kami Perikatan Nasional (PN) untuk DAP. Banyakkanlah lagi bercakap isu-isu macam ni,” katanya ketika sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini. (Foto atas)

Mengulas lanjut, Afnan berkata cadangan mengenai portfolio bukan Islam berpunca daripada pertikaian tentang garis panduan orang bukan Islam yang dicadangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

“Menteri Agama bercakap itu kerana Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang cadang. Jadi pertikaian itu berlaku dan akhirnya kita tahu jawapan dia kabinet tidak menjadikan ia sebagai garis panduan.

“Tak perlu Perdana Menteri sebut, tak perlu ada garis panduan. Di satu sudut Perdana Menteri, adakah Perdana Menteri tidak percaya kepada Menteri Agama dilantiknya sendiri sebab Menteri Agama Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

“Menteri Agama bercakap, tiba-tiba Perdana Menteri tolak pandangan menteri dia. Kalau Menteri Agama itu tak kompeten, pecatlah menteri agama itu. Simpan buat apa,” katanya.

Terdahulu, cadangan mewujudkan garis panduan kepada umat Islam yang menghadiri perayaan orang bukan Islam mencetuskan kontroversi susulan reaksi pelbagai diterima termasuk dalam kalangan pemimpin di negara ini.

Susulan itu, Anwar menegaskan Kabinet memutuskan bahawa garis panduan yang dicadangkan oleh JAKIM itu tidak perlu. – HARAKAHDAILY 13/2/2025

- Advertisement -