Umno Pahang hanya bakal ulangi skrip PRU15

- Advertisement -

KUANTAN: Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar mempersoalkan tindakan Umno Pahang yang menyebarkan persepsi PAS dan PN bakal kehilangan lapan kerusi DUN pada PRU16. 

Menurutnya, serangan melalui laman sosial Pahangku Media itu adalah sebahagian daripada perang psikologi yang cuba menggambarkan kekuatan baharu Umno selepas bergabung dengan DAP dan Pakatan Harapan (PH) pasca PRU15. 

“Saya melihat ini merupakan satu perang psikologi yang kononnya Umno Pahang kini semakin kuat dan utuh dengan berkahwinnya mereka bersama DAP dan PH Pahang pasca PRU15,” katanya dalam satu kenyataan. 

Ahmad Azlan turut mengimbau kenyataan Umno Pahang semasa PRU15 yang mendakwa mampu memenangi 35 kerusi DUN, namun realiti keputusan pilihan raya itu tidak memihak kepada mereka. 

“Kini tiada angin tiada ribut, tiba-tiba Umno Pahang sekali lagi membuat satu hantaran melucukan yang kononnya PAS bakal hilang lapan kerusi DUN di Pahang dan semangat kental bolehkan BN tawan dua pertiga Pahang pada PRU16,” katanya. 

Beliau berkata, Umno Pahang gagal mengambil iktibar daripada sejarah lalu dan masih bermain politik dengan menafikan hak wakil rakyat pembangkang di negeri itu. 

“Hari ini Umno Pahang terus bermain politik dengan terus-menerus menafikan hak wakil rakyat pembangkang di negeri Pahang terutama dari sudut peruntukan, penggunaan premis awam dan banyak lagi isu-isu di kawasan yang diwakili wakil rakyat pembangkang,” katanya. 

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa wakil rakyat PAS dan Perikatan Nasional (PN) tetap komited memberikan khidmat terbaik kepada rakyat tanpa mengira ideologi politik. 

“Saya percaya dengan usaha yang jitu dan berterusan daripada wakil rakyat dan jentera PAS Pahang dan PN, tiada yang mustahil dengan izin Allah untuk Pahang akan diterajui oleh PAS dan PN pada PRU16 nanti,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/2/2025

- Advertisement -
- Advertisement -