
NIBONG TEBAL: Seramai hampir 70 murid asnaf di seluruh Parlimen Nibong Tebal menerima sumbangan pakaian dan kelengkapan sekolah dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung di kedai Walinong Sari, Parit Buntar, Perak, semalam.
Program ini merupakan anjuran bersama Pusat Khidmat ADUN Sungai Bakap dan Lajnah Kebajikan PAS Kawasan Nibong Tebal bagi membantu murid-murid kurang berkemampuan membuat persiapan menghadapi sesi persekolahan baharu.
Murid yang hadir berpeluang memilih sendiri pakaian dan keperluan sekolah masing-masing, termasuk songkok atau tudung, baju sekolah, seluar atau kain sekolah, stokin, kasut sekolah, serta beg sekolah.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Nibong Tebal, Ustaz Rozali Mohamad dan Ketua Lajnah Kebajikan PAS Kawasan, Ismail Hashim serta Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan dan Cawangan.
ADUN Sungai Bakap, Abidin Ismail yang mesra dipanggil ‘Abang Abidin’ berkata, pihaknya amat menghargai usaha semua pihak yang telah menjayakan program ini demi membantu masyarakat memerlukan.

“Kami amat berterima kasih kepada pemilik kedai Walinong Sari serta semua penyumbang yang telah membantu menjayakan program ini. Sokongan mereka amat bermakna bagi memastikan anak-anak asnaf dapat membuat persiapan sekolah dengan baik,” katanya.
Beliau turut berharap sumbangan ini dapat menceriakan anak-anak asnaf dan memberi semangat baharu kepada mereka dalam menempuh sesi persekolahan akan datang.
“Saya mahu melihat semua murid yang menerima bantuan ini lebih bersemangat dan bersungguh-sungguh dalam pelajaran mereka. Ilmu adalah aset paling berharga untuk masa depan mereka,” ujarnya lagi.
Waris murid yang hadir turut memberikan kerjasama penuh sepanjang program berlangsung serta melahirkan rasa syukur atas bantuan diberikan pihak Abang Abidin dan PAS Nibong Tebal.
“Sumbangan ini diharapkan dapat meringankan beban ibu bapa dan penjaga dalam menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak mereka,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/2/2025














