
KITA ambil filem Enam Jahanam sebagai panduan jalan cerita untuk analogi mudah ini. Tetapi watak-wataknya, kita ‘adjust’ sedikit namanya, takut melanggar hak cipta. Contohnya penjahat bernama Sujama kita tukar kepada Suja-Eid. Jagindas (Jagin-Yeh), Mumbala (Mumba-Zif), Karambit (Karam-Zi), Paragas (Para-Wi) dan Katipang (Ku-Terapang).
Dan kita ubah nama kumpulan mereka dari Enam Jahanam kepada GTD (Geng Tembolok Duit) kerana melibatkan berbilion ringgit duit rakyat. Watak hero pula kita ambil seorang sahaja bernama Laksamana Damburi. Nak letak Laksamana Samsuri, takut nama itu moden sangat bukan dari nama purba. Jadi kita letak Laksamana Samburi, adalah nampak unsur-unsur kepurbaan. Beliau seorang yang baik, pintar, jujur dan amanah.
Ceritanya begini. Suja-Eid ialah seorang penjahat besar. Dia menikah dengan ibu kepada Laksamana Samburi seorang janda yang sangat kaya dengan cara menipu, menyamar sebagai orang baik, alim dan ibu Samburi terpedaya. Rupanya Suja-Eid hanya mahu mengambil harta sahaja. Apabila dia tahu, ia telah terlambat. Suja-Eid juga menguasai semua ketua jabatan penting dalam negeri itu dan semuanya sama perangai dengannya.
Jagin-Yeh menjadi Ketua Hakim, dia pastinya tidak akan membenarkan apa-apa tuntutan fasakh atau tebus talak dari ibu Laksamana Samburi. Jadi hiduplah ibunya dengan Suja-Eid dalam keadaan tertekan, tetapi tidak mampu lari dari Suja-Eid. Laksamana Samburi sentiasa mencari jalan menyelamatkan ibunya.
Suatu hari, Suja-Eid telah mengandungkan seorang bohsia atau dalam bahasa Terengganu, dipanggil ‘pporong’ (cerita ini bukan semestinya berlaku di Terengganu, tetapi sengaja guna bahasa Terengganu). ‘Pporong’ itu pula hodoh wajahnya.
Untuk selamatkan diri, Suja-Eid menyuruh ‘pporong’ itu membuat laporan polis yang mana ketuanya adalah Mumba-Zif, juga rakan baik Suja-Eid, dengan dakwaan Laksamana Samburilah yang merogolnya. Oleh kerana takut, maka dia membuat laporan dan Laksamana Samburi dipaksa kahwin dengan ‘pporong’ itu. Jika tidak, ibu Laksamana Samburi akan mendapat masalah.
Laksamana Samburi yang terpaksa kahwin kerana mahu menyelamatkan ibunya itu. Beliau kemudiannya difitnah pula oleh ahli GTD lain seperti Karam-Zi, Para-Wi, Ku-Terapang serta penyokongnya bahawa Laksamana Samburi bertindak zalim selepas merogol dan tidak mempedulikan isteri dan kandungan.
Kata mereka, apabila sudah kahwin, kenalah ambil tanggungjawab menjaga isteri dan kandungannya, tak perlu bagi alasan ‘pporong’ atau anak luar nikah. Mereka mahu memberi persepsi yang kononnya Laksamana Samburi berkahwin tetapi tidak mahu menunaikan kewajipannya dan kandungan itu benih beliau.
Orang yang tidak tahu cerita sebenar, ada yang bersetuju dengan tuduhan itu. Melihat kepada keadaan luaran sahaja, tetapi tidak tahu cerita sebenar yang Laksamana Samburi terpaksa berkorban kerana tidak mahu ibunya merana dan juga terpaksa menahan malu dituduh merogol yang mana ‘pporong’ itu, kena dijaga rawatannya dengan duit yang banyak.
Akhirnya Laksamana Samburi berjaya menyelamatkan ibunya dari Suja-Eid. Akan tetapi ‘pporong’, yang juga isteri paksaan itu merayu untuk dibawa bersama kerana dia akan dibunuh oleh Suja-Eid. Atas dasar kemanusiaan melibatkan nyawa, Laksamana Samburi membawanya juga, walaupun berat hati dan benci melihat ‘pporong’ yang sudah melahirkan anak lelaki, yang wajahnya saling tak tumpah seperti wajah Suja-Eid.
Sekarang masukkan watak Laksamana Samburi sebagai pimpinan kerajaan baharu yang baik dan amanah. Ibunya sebagai rakyat yang puluhan tahun diugut dan dibohongi. ‘Pporong’ itu sebagai projek gagal yang rugi berbilion ringgit terpaksa ditanggung dan saman dari kontraktor sebagai anak luar nikah benih orang lain. GTD pula sebagai kerajaan lama yang kerjanya buat projek membazir duit ikut suka dia dan kemudian buat fitnah kepada kerajaan baharu.
Jika anda faham analogi ini, alhamdulillah. Jika masih tidak faham, ulang baca lagi. Tetapi jika ada yang tidak mahu faham, buat-buat tak faham, walaupun sebenarnya sudah faham dan jelas. Maka dia sebenarnya adalah ‘pporong’ politik. Siapa dengan rela hati menjadi ‘pak sanggup’ untuk mengaku kerosakan yang orang lain buat, tiada kaitan dengan kita?
MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 9/2/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











