
KOTA BHARU: Pelajar Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Tahfiz yang menamatkan Tahun 6 diyakini mampu bersaing dengan pelajar sekolah lain apabila melangkah ke peringkat menengah.
Exco Kerajaan Negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, selain cemerlang dalam akademik, pelajar SRITI juga diyakini dapat mengekalkan imej serta akhlak baik diterapkan sepanjang enam tahun pembelajaran.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Graduasi Tahun 6 & Aulad Brilliant SRITI Tahfiz Ibadurrahman, Tumpat yang berlangsung di sebuah hotel, di sini, semalam.
Beliau yang juga ADUN Pengkalan Kubor turut menekankan kepentingan pendidikan seimbang antara akademik dan ilmu agama bagi membentuk generasi berakhlak mulia.
“Sama-sama kita jaga anak-anak kita, berikan pendidikan yang sempurna sebagai persiapan untuk mereka di masa hadapan.
“Tahniah diucapkan kepada semua pelajar, khususnya yang mencapai kecemerlangan dalam akademik dan sahsiah,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri itu.
Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada ibu bapa atas sokongan serta dorongan berterusan kepada anak-anak dalam menimba ilmu.
Belaiu turut mengucapkan tahniah kepada pengurusan SRITI Ibadurrahman atas kejayaan menubuhkan SRITI Ibadurrahman Cawangan Wakaf Bharu.
Menurutnya, perkembangan ini membuktikan bahawa masyarakat semakin peka terhadap kepentingan pendidikan Islam.
Majlis turut diserikan dengan pelancaran perfume keluaran Yayasan Ibadul Rahman, satu inisiatif bagi menyokong perkembangan pendidikan Islam.
Sementara itu, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah SRITI Tumpat, Mohd Hushaimi Hussain berkata, sekolah tersebut telah mencapai beberapa kejayaan besar dalam akademik dan kokurikulum.
Menurutnya, dalam peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK), SRITI Ibadurrahman muncul sekolah terbaik peringkat PPD Tumpat apabila 24 daripada 48 calon memperoleh ‘straight’ A.
“Dalam peperiksaan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (UPSRITI) pula, seramai 22 calon memperoleh ‘straight’ A, sekali gus menjadi pencapaian kedua terbaik peringkat negeri Kelantan.
“Seorang bekas pelajar SRITI, Ahmad Moha Nasir kini sedang belajar di Maahad Ad-Dini Qarthubah, Kuwait,” katanya.
Selain itu, SRITI Ibadurrahman turut mencatat kejayaan dalam kokurikulum apabila dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan tiga tahun berturut-turut (2022, 2023, 2024) dalam Kejohanan Sukan dan Olahraga SRITI (KESUGA) Peringkat Negeri Kelantan.
Tambahnya, di peringkat kebangsaan pula, sekolah itu merangkul juara acara bola jaring dan Naib Johan kategori memanah. – HARAKAHDAILY 7/2/2025











