
KUALA LUMPUR: Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) mencadangkan supaya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewujudkan modul pembelajaran kecerdasan buatan (AI) di institusi pengajian tinggi.
Beliau berkata, perkembangan teknologi dan revolusi perubatan kebelakangan ini semakin pesat berkembang dengan kehadiran AI yang dilihat mampu mengubah latar kehidupan dan cara kerja manusia.
“Cuma apabila menyentuh berkaitan dengan teknologi ini ia perlukan kemahiran. Soalan saya, adakah kerajaan bercadang untuk memperkenalkan modul pembelajaran teknologi kecerdasan buatan ini.
“Adakah kerajaan akan memperkenalkan teknologi ini dalam silibus perubatan dan kejururawatan di universiti tempatan bagi melahirkan tenaga kerja yang mahir dalam teknologi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Lukanisman Awang Sauni dalam jawapannya menjelaskan Malaysia tidak ketinggalan memperkenalkan silibus AI dalam pendidikan perubatan dan kejururawatan tempatan.
Bagaimanapun katanya lagi, satu kajian komprehensif perlu dilaksanakan bagi mencapai hasrat tersebut kerana AI tidak bergantung pada satu teknologi sahaja bahkan, kemahiran dimiliki pakar perubatan.
Menurut Ahli Parlimen Sibuti itu lagi, pihaknya sedang mengumpul banyak maklumat dan data bagi membangunkan teknologi tersebut secara lokal iaitu membabitkan perubatan dan rawatan mata. – HARAKAHDAILY 5/2/2025











