Utama semangat jemaah, ukur baju di badan sendiri

Siapa ketuai Pulau Pinang serahkan kepada pimpinan tertinggi

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Semua parti gabungan dalam Perikatan Nasional (PN) perlu mengutamakan semangat berjemaah dan tidak mendabik dada dalam menentukan kepimpinan PN di Pulau Pinang.

- Advertisement -

Pegawai Khas Sekretariat ADUN PAS Pulau Pinang, Steven Koh Tien Yew menegaskan, keputusan itu wajar diserahkan kepada pimpinan tertinggi PN demi memastikan strategi terbaik bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

“Kita perlu mengukur baju di badan sendiri, biarlah pimpinan tertinggi PN yang membuat keputusan siapa yang layak dan mengatur strategi yang sewajarnya. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh,” katanya kepada Harakahdaily di sini, hari ini.

Isu kepimpinan PN Pulau Pinang kembali menjadi perbincangan hangat selepas parti Gerakan dikritik kerana didakwa gagal memberi nilai tambah kepada gabungan itu di negeri berkenaan.

Terdahulu, Ketua Penerangan Gerakan, Wendy Subramaniam, mempertahankan kedudukan partinya dengan menegaskan bahawa mereka sentiasa memperjuangkan agenda bangsa Malaysia tanpa mengutamakan ketuanan kaum.

“Gerakan pernah mentadbir Pulau Pinang dengan naratif tersebut, walaupun ada pihak melabelkan kami sebagai parti orang Cina. Kami mengingatkan semua pihak agar bergerak ke hadapan dengan pendekatan komprehensif, menolak konsep ‘identity supremacy’,” katanya.

Sehubungan itu, Steven mengingatkan semua parti gabungan agar tidak mendabik dada dan mengekalkan semangat berjemaah demi kestabilan PN. – HARAKAHDAILY 3/2/2025

- Advertisement -