
KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan mengenakan cukai nikotin sebagai langkah dalam meringankan beban kewangan untuk merawat pesakit akibat merokok adalah satu dasar yang lemah.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, ia tidak menyelesaikan punca masalah, malah hanya menggalakkan lagi penggunaan vape dan rokok.
“Kerajaan perlu lebih bertanggungjawab dalam isu ini. Kuasa politik berada di tangan kerajaan hari ini. Persoalannya, adakah kerajaan lebih mengutamakan pendapatan cukai yang kecil?
“Atau sanggup menanggung kos penjagaan kesihatan yang jauh lebih besar akibat kesan buruk vape dan rokok?” katanya menerusi kenyataan di Facebook, pada Sabtu.
Oleh demikian, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat berkata, pelaksanaan Generasi Penamat Rokok (GEG) adalah langkah lebih munasabah sekiranya kesihatan rakyat benar-benar menjadi keutamaan kerajaan.
“Jika kerajaan hanya melihat dari sudut ekonomi semata-mata, hakikatnya beban perbelanjaan kesihatan yang tinggi akibat penyakit berkaitan rokok dan vape akan memberi impak lebih besar kepada negara,” katanya.
Terdahulu, laporan media mengenai pelbagai kes akibat vape seperti pelajar terjatuh dari bumbung, kanak-kanak mengalami keracunan nikotin, remaja dirawat akibat kecederaan paru-paru (EVALI) dan lain-lain jelas menunjukkan betapa seriusnya ancaman ini.
Beliau berkata, lebih membimbangkan apabila kawalan penjualan produk termasuk yang tidak berdaftar dan dijual secara haram masih sukar dikawal.
“Kenyataan bahawa ‘pemain industri vape di negara ini majoritinya anak muda yang meraih pendapatan lumayan’ seolah-olah mengesahkan bahawa industri ini mempunyai pengaruh besar dalam menggugurkan GEG ketika proses meluluskan Akta Kawalan Merokok Demi Kesihatan Awam.
“Justeru, kerajaan perlu tegas dalam menjaga kesihatan rakyat Malaysia. Jangan hanya mengejar keuntungan kecil tetapi akhirnya menanggung kerugian besar ibarat ‘untung secupak, rugi segantang’.
“Walaupun peruntukan tahunan kesihatan adalah besar, banyak isu masih gagal ditangani, termasuk kos rawatan penyakit tidak berjangkit (NCD) yang tinggi akibat dasar-dasar yang lemah,” katanya.
Terdahulu, Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berpandangan bahawa sukar bagi kerajaan mengambil keputusan drastik untuk mengharamkan vape.
Selain itu, Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula menyatakan bahawa kerajaan tidak mampu kehilangan hasil cukai yang besar, namun kesan yang lebih membimbangkan adalah terhadap kesihatan fizikal dan mental rakyat. – HARAKAHDAILY 3/2/2025











