
SHAH ALAM: Alternative Riding Club (ARC) Selangor merakamkan ucapan takziah mendalam kepada keluarga mangsa yang maut dalam kemalangan di Jalan Hulu Langat menghala ke Ampang, di sini pada Ahad.
Mangsa, Aysar Zahran Saiful Alimin, 20, adalah seorang pelajar cemerlang di bawah biasiswa MyPAC-Maybank Islamic Berhad bagi program Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) Yayasan Perakaunan (FIA) di TYMBA Education.
ARC Selangor dalam kenyataannya berkata, pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya kelakuan pemandu yang tidak bertanggungjawab dan menyeru pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas agar kejadian seperti itu tidak berulang lagi.
“Kami berharap pihak berkuasa akan menyiasat kejadian ini dengan penuh teliti dan memberi keadilan kepada mangsa serta keluarganya. Semoga roh Aysar Zahran ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman,” kata ARC menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Terdahulu, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang datang dari arah Ampang telah masuk ke laluan bertentangan dan merempuh kelima-lima kenderaan sehingga menyebabkan salah seorang penunggang motosikal tercampak dan jatuh di tepi jalan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, akibat dari kemalangan itu, mangsa dikenal pasti sebagai Aysar Zahran yang menunggang sebuah motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Lima lagi penunggang dan pembonceng motosikal yang lain dibawa ke Hospital Ampang untuk mendapat rawatan. Pemandu kedua-dua kereta tidak mengalami sebarang kecederaan. Kesemua mereka yang terlibat kemalangan berusia 17 hingga 38 tahun.
“Seorang lelaki berusia 27 tahun yang memandu Perodua Alza telah ditahan, kenderaan akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut,” katanya.
Naazron berkata, punca kejadian belum diketahui dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Narolhisyam Endi di talian 019-5897115.
“Pihak polis menasihatkan kepada pengguna jalan raya supaya mengamalkan pemanduan yang berhemah, sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan berhati-hati semasa memandu,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/2/2025











