Henti keganasan rumah tangga, lindungi wanita

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menyeru semua wanita, tanpa mengira agama dan bangsa supaya memelihara diri daripada menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

- Advertisement -

Ketua DMPM, Ustazah Nuridah Mohd Salleh menegaskan, keganasan rumah tangga adalah perbuatan yang tidak sepatutnya berlaku dan menekankan bahawa Islam menolak keras tindakan tersebut.

“Sangat tidak mengembirakan, bila kita terdengar berita, seorang suami menampar isterinya. Apatah lagi berlaku di khalayak ramai hanya kerana kelewatan membeli makanan.

“Perbuatan ini bukan sahaja mencerminkan kegagalan dalam mengawal emosi, tetapi juga memperlihatkan bagaimana keganasan rumah tangga berlaku berleluasa dan begitu mudah dalam masyarakat kita.

“Amat malang lagi jika perlakuan tersebut disaksikan anak sendiri.  Anak-anak adalah cerminan masa depan. Mereka tidak seharusnya dibesarkan dalam persekitaran yang dipenuhi ketakutan dan kekasaran,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Ustazah Nuridah menjelaskan Islam menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan dalam rumah tangga.

“Rasulullah sendiri adalah contoh suami terbaik. Baginda SAW tidak pernah memukul isteri-isterinya, bahkan melayan mereka dengan penuh kasih sayang dan penghormatan.

“Sabda Baginda SAW, ‘Sebaik-baik kamu ialah yang paling baik terhadap isterinya’,” ujar beliau memetik hadis riwayat Tirmizi.

Jelasnya, dari hadis itu menunjukkan bahawa kekuatan sebenar seorang lelaki bukan pada kekerasan, tetapi pada kelembutan dan kebijaksanaan dalam memimpin keluarga masing-masing.

“Jika anda mengalami penderaan, segera dapatkan bantuan daripada pihak berkuasa, badan bukan kerajaan (NGO), atau pusat perlindungan wanita,” katanya.

Beliau turut mengingatkan setiap individu berhak untuk hidup dalam keadaan selamat dan bermaruah.

“Ingatlah, Allah tidak membiarkan hamba-Nya dalam kesusahan tanpa jalan keluar. Jangan takut untuk bersuara dan mencari perlindungan. Saya juga menyeru kepada seluruh masyarakat agar mengambil tanggungjawab dalam membanteras keganasan rumah tangga.

“Usah hanya menjadi pemerhati, tetapi beranilah bertindak jika melihat kezaliman berlaku di sekeliling kita. Namun, dalam menegur, kita harus berhikmah dan tidak mengaibkan sesiapa.

“Akhirnya, saya berdoa agar setiap keluarga di Malaysia, khususnya golongan muda berjaya membina dan mengharungi alam rumah tangga dengan penuh mawaddah wa Rahmah iaitu berkasih sayang dan belas kasihan,” katanya.

Sebelum ini tular satu rakaman video berdurasi 29 saat memaparkan seorang wanita berjalan keluar dari pusat beli-belah sambil memegang bungkusan plastik, sebelum seorang lelaki menghampiri dan menamparnya di khalayak ramai.

Selepas kejadian tular itu, lelaki terbabit telah membawa isteri dan anaknya tidur di Nilai, Negeri Sembilan sebelum menghantarnya pulang.

Suami mangsa bagaimanapun keluar semula dari rumah dan tidak pulang selepas itu dipercayai takut ditahan pihak polis. – HARAKAHDAILY 3/2/2025

- Advertisement -