Rejim Zionis kalah perang senjata dan psikologi

- Advertisement -

APABILA gencatan senjata diisytiharkan di antara HAMAS dan negara haram Israel, penduduk Gaza sorak bergembira, walaupun rumah mereka sudah lama dibom rejim zalim itu. Ada yang sujud syukur dan sebagainya. Sementara di negara haram Israel, menteri-menterinya bercakaran sesama sendiri. Keluarga mangsa tahanan pula terus mendesak kerajaan mereka bersegera dan jangan menangguh-nangguh tukaran tahanan itu.

- Advertisement -

Para pegawai tinggi tentera pula dikatakan ingin meletakkan jawatan kerana gagal menghapuskan HAMAS.

Daripada sudut persenjataan, semua tahu banyak mana regim zalim itu menghabiskan wang, termasuk ‘meminta sedekah’ dengan ‘bapanya’ dan ‘bapa-bapa saudara’.

Senjata paling canggih, jumlah bom sangat banyak, jangka masa perang paling lama antara pejuang Palestin di Gaza dengan rejim Zionis, bantuan kuasa besar dunia. Namun, semuanya tidak dapat menghapuskan HAMAS dan Briged Al-Qassam serta kumpulan pejuang di Gaza.

Ketika tukaran 3 tahanan perang ingin diserahkan kepada Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa di Dataran As-Saraya, rakyat Gaza sudah memenuhi dataran tersebut. Kelihatan pejuang Briged Al-Qassam mula memasuki dataran. Di lengan baju mereka, tertulis ‘وحدة النخبة’ iaitu unit elit. Unit ini ditugaskan untuk misi dan operasi yang khusus dan istimewa.

Beberapa buah kereta dan pikap membawa pejuang-pejuang ini. Kenderaan tidak banyak dan bilangan mereka tidak lah ramai sangat. Namun, daripada sudut psikologi, ia sudah menggerunkan Tel Aviv.

Akhbar-akhbar dan media di negara haram Israhell dikatakan membincangkan kehadiran pejuang-pejuang Briged Al-Qassam itu. Saluran Al-Jazeera dikatakan tidak dibenarkan di negara haram itu tetapi rakyat negara haram itu dapat mengikutinya melalui pelbagai medium lain.

Pelbagai ulasan yang ada: HAMAS masih kukuh dan utuh sekalipun diserang habis-habisan selama 15 bulan, Netanyahu berbohong kepada kami, tentera rejim tidak mampu mengalahkan HAMAS, HAMAS masih popular dalam kalangan penduduk Gaza dan lain-lain.

Yang menariknya apabila pejuang Briged Al-Qassam memberikan bungkusan kertas berlabel Briged Al-Qassam itu kepada 3 tahanan perang itu. Ada pengulas berkata: Ini secara sedar atau tidak, gambar atau logo Briged Al-Qassam telah dibawa masuk ke dalam negara haram Israel. Begitu juga kandungan bungkusan tersebut. Ia bukan sekadar bungkusan biasa, tetapi satu muslihat, permainan psikologi hebat daripada Briged Al-Qassam pasca perang dan hari pertama gencatan senjata.

Layanan pejuang kepada tahanan juga sangat baik. Bandingkan wajah ceria 3 tahanan Israel itu dengan wajah Khalidah Jarar, antara wanita besi pejuang rakyat Palestin yang tidak bertudung, berubah warna rambutnya daripada hitam pekat kepada putih ketika dibebaskan daripada penjara rejim Zionis 3 hari lepas. Begitu juga, seperti yang diceritakan oleh Rula Hasanain, seorang lagi tahanan wanita Palestin yang menyebut bagaimana mereka disoalsiasat oleh pihak penjara rejim dengan bertelanjang, diabaikan aspek kesihatan dan sebagainya.

Semua ini menunjukkan betapa pejuang Palestin, walaupun rumah-rumah dan bangunan di Gaza menjadi debu, mereka sebenarnya memenangi peperangan bersenjata yang dahsyat ini, juga memenangi perang psikologi terhadap satu bangsa yang sangat sombong, menganggap manusia lain sebagai binatang dan pernah membunuh para nabi terdahulu. – HARAKAHDAILY 22/1/2025

Nik Muhammad Nasri Nik Malek

Penulis ialah Ketua Dewan Ulamak PAS Kawasan Kemaman.

- Advertisement -