
KOTA BHARU: Kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kepada pengayuh basikal roda tiga atau beca dengan meningkat elaun bulanan dari RM100 kepada RM500 bermula Januari tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Dato’ Kamarudin Md Nor menyifatkan usaha tersebut sebagai jaminan kerajaan negeri yang diberikan kepada golongan tersebut.
Beliau berkata, usaha itu sebagai salah satu tanda keprihatinan kerajaan negeri menjaga kebajikan dan kehidupan golongan yang turut terjejas dengan peningkatan harga barang dan kos sara hidup.
“Dia (pengayuh beca) dah ada pendapatan RM500 sebulan, dia dah ada jaminan, jadi apa (pendapatan) yang dia dapat lebih pada itu dia punyalah, kerajaan negeri tidak akan ambil apapun.
“Bahkan dalam masa yang sama kita sediakan banyak kemudahan dan tidak lama lagi kita akan sediakan laluan khusus untuk beca di lokasi tarikan pelancongan di Kota Bharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan bantuan pengayuh beca yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud.
Dalam pada itu sebahagian penerima bantuan bulanan itu menyatakan kegembiraan kerana langkah tersebut dapat meringankan beban yang ditanggung ketika kos sara hidup makin meningkat.

Bagi Hassan Ismail 60, dia gembira setelah mendapat khabar apabila kerajaan negeri menyatakan hasrat untuk meningkatkan elaun bulanan daripada RM100 kepada RM500 kepada pengayuh beca.
“Perasaan ayah memang suka sangatlah sebab ayah dahulu kayuh basikal beca ini tidak pernah boleh bantuan ini sehingga tahun bila dapat RM100, RM100 pun sudah suka apatah lagi RM500.
“RM500 sebulan tidak gembira kenapa pulak, maknanya ringanlah sedikit walaupun sudah tiada anak sekolah pun maknanya kita boleh belanja tidak payah fikir banyak nak beli apa,” katanya.
Ismail Dollah 76, pula bersyukur kerana menerima elaun bulanan RM500 dari kerajaan negeri yang menterjemahkan keprihatinan terhadap kehidupan golongan tersebut pada ketika ini.
“Boleh RM500 ni terima syukurlah hok kerajaan negeri bagi tolong bantuan kepada penarik beca, lagu tu, makna kita boleh pelihara anak-anak kita, tiada anak kecil tetapi ada cucu boleh beli.
“Tetapi kuranglah beban hidup kita ini maknanya lagu tu, kita bawa beca ini daripada usia kanak-kaak dalam usia belasan tahun 18, jadi bantuan ini satu cara yang baik bantu kita,” katanya.
Sementara itu Che Udi Che Pa 71, yang mengayuh beca lebih 30 tahun itu berterima kasih kepada kerajaan negeri yang berusaha meningkatkan bantuan tersebut bermula Januari tahun 2025.
“Terima kasih pada kerajaan negeri dan exco, saya syukur alhamdulillah dapat sumbangan RM500 untuk membantu penarik beca kita, dahulu dia bagi RM100 sebulan bersamaan RM1,200 setahun.
“Tetapi dia bagi dua kali setahun iaitu RM600 dan RM600, tahun ini diubah suai nak tambah bantuan sebanyak RM500 sebulan terima kasih sekali lagi kepada kepimpinan kerajaan negeri,” katanya. HARAKAHDAILY 22/1/2025













