
SAYA masih ingat bila saya berkunjung ke Candi Borobudur, di Jawa Tengah beberapa tahun yang lalu.
Lukisan dan pahatan batu di dinding Borobudur banyak mengisahkan mengenai kehidupan masyarakat dan kepimpinan dari seorang raja atau penguasa.
Antara kisahnya bertapa seorang raja mesti berlaku adil terhadap rakyatnya, bertanggung jawab dan amanah dalam melaksanakan tugas dan tanggung jawabnya. Tapi sayangnya mereka tidak beriman kepada Allah dan kerja buat mereka menjadi sia-sia di sisi Allah di akhirat nanti.
Secara universalnya naluri dan fitrah manusia itu semuanya sama iaitu suka kepada kebaikan, perlu dilayani secara adil, tidak suka pada penipuan, tidak mahu dibohongi dan diperhatikan keperluan hidupnya secara adil oleh raja atau pemimpinnya.
Cerita yang bersifat universal di Borobudur itu juga melambangkan sifat dan peribadi yang ada pada Khalifah Islam seperti Saidina Umar RA dan Khalifah Umar Abd Aziz RH. Cuma perbedaannya semua kebaikan itu dilakukan atas perintah Allah dan Rasul-Nya serta kewajiban seorang hamba kepada pencipta-Nya.
Terima kasih pada Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming yang sering mengangkat cerita sebegini untuk dijadikan sensasi dan panutan.
Tapi Menteri lupa bahawa di sana ada aqidah serta konsep amal ma’aruf nahi mungkar yang menjadi amalan dan pegangan setiap khalifah-khalifah Islam yang disebut oleh Menteri.
Begitu juga dengan Firaun dan Namrud mereka adalah penguasa yang membina tamadun manusia dengan hebat tetapi mereka tidak beriman kepada Allah dan tamadun mereka dihapuskan dan kerajaan mereka diruntuhkan oleh Allah SWT. Kisah api di Los Angeles adalah contoh terdekat.
Rasanya tidak tepat sekiranya Menteri melihat ciri integriti, menunaikan tanggung jawab dan bekerja keras sebagai ikutan tetapi meninggalkan nahi mungkar seperti banteras judi, banteras pusat-pusat maksiat yang semuanya di bawah kendalian KPKT dari segi permit dan premis perniagaan.
Jadi kalau sekadar ambil integriti sebagai contoh dan meninggalkan nahi mungkar tidak ada bezanya dengan cerita-cerita yang dipahat di dinding-dinding batu Borobudur dan jauh panggang dari api untuk disamakan Menteri KPKT macam Khalifah Umar Abd Aziz atau Saidina Umar Al Khattab.
Saya bimbang yang diikutinya bukan Khalifah Umar tapi ‘perasan’ saja.
Dan lebih membimbangkan lagi nanti apakah ini cubaan menormalisasikan doktrin DAP secara senyap-senyap dengan berselindung di sebalik kisah dan sejarah hebat Khalifah Islam?
Atau dengan lain perkataan ‘tunggang agama’ untuk dapatkan sokongan politik?
BAKRI JAMALUDDIN
Ahli Parlimen Tangga Batu – HARAKAHDAILY 17/1/2025













