RUU URA tidak telus, nafikan hak pemilik tanah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, LAr Fauzi Abu Bakar menyatakan kebimbangan terhadap Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang akan dibentangkan di Parlimen.

Juru Perunding Arkitek dan Landskap dan Perancang Alam Sekitar itu berkata, perancangan di sebalik akta itu mempunyai agenda tersembunyi yang boleh menjejaskan hak pemilik tanah, khususnya di kawasan bandar. 

Menurutnya, berdasarkan draf RUU URA, antara matlamat utama akta itu adalah mengambil alih hak milik tanah, sama ada hak milik strata atau tanah yang telah dipecah-pecahkan, tanpa persetujuan penuh daripada pemilik.

”Undang-undang sedia ada memerlukan persetujuan 100 peratus daripada pemilik untuk menyerahkan hak milik tanah.

”Namun, melalui URA, persetujuan itu akan diturunkan kepada hanya 80 peratus. Ini bermakna 20 peratus yang tidak bersetuju akan dinafikan hak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Podcast HijauFM yang bertajuk ‘Manipulasi Pengambilan Tanah, Kebetulan Atau Terancang?’ semalam.

Fauzi juga menegaskan bahawa langkah itu boleh membawa kepada elemen kezaliman kerana hak pemilikan individu tidak dihormati sepenuhnya.

Beliau dimaklumkan bahawa jawatankuasa yang sedang mendrafkan RUU tersebut telah mengenal pasti 193 kawasan yang akan dibangunkan semula melalui akta akan diperkenalkan nanti.

“Sekiranya dapat diterima dan diterima pakai dan dipersetujui oleh Ahli Parlimen, makanya akan dijadi gazetkan sebagai undang-undang terima pakai, maka undang-undang tersebut akan melibatkan pembangunan 193 kawasan tersebut.

“Dan sudah pasti sudah pasti ia akan merubah landskap dan juga demografi kependudukan penduduk-penduduk di dalam bandar yang Kuala Lumpur terutamanya di bandar-bandar besar lain sekalipun.

“Ia akan modal yang sama juga akan berlaku, akan diguna pakai untuk dijadikan sebagai kaedah untuk pembangunan semula di kawasan-kawasan bandar untuk kepentingan-kepentingan atas alasan ekonomi dan juga keuntungan dan juga kelestarian kehidupan contohnya,” dedahnya.

Kesan sosial dan politik

Fauzi berkata, RUU URA itu dijangka memberi kesan besar kepada demografi, sosial, dan politik di kawasan bandar, khususnya di Kuala Lumpur. 

“RUU ini bertujuan merobohkan bangunan lama untuk pembangunan semula, tetapi prosesnya sering tidak telus dan lebih mengutamakan keuntungan pemaju serta pihak tertentu. Ia tidak mengambil kira keperluan sosial, ekosistem, dan keadilan kepada penduduk asal,” katanya. 

Beliau turut memberi contoh bagaimana penduduk asal yang tergolong dalam kumpulan berpendapatan rendah (B40) mungkin tidak mampu membeli unit baharu di kawasan yang dibangunkan semula kerana harga jauh lebih mahal. 

“Walaupun penduduk asal dijanjikan untuk kembali, pembangunan semula kawasan itu akan disertai dengan penambahan unit-unit perumahan premium yang hanya mampu dimiliki golongan berada, sekali gus mengubah demografi kawasan tersebut,” katanya. 

Kebimbangan terhadap gentrifikasi

Beliau juga mengaitkan proses itu dengan fenomena gentrifikasi, di mana pembangunan semula kawasan lama mengusir penduduk asal kerana ketidakmampuan mereka untuk menyesuaikan diri dengan kos hidup yang meningkat. 

“Gentrifikasi ini akan membawa kepada perubahan landskap politik dan sosial kawasan bandar, selain membuka ruang kepada pengaruh politik tertentu. Kawasan yang dulunya dihuni golongan B40 akan berubah menjadi kawasan eksklusif untuk golongan elit,” katanya. 

Fauzi turut mempersoalkan sama ada agenda tersembunyi itu lebih berorientasikan keuntungan semata-mata tanpa mengambil kira hak rakyat. – HARAKAHDAILY 16/1/2025

- Advertisement -
- Advertisement -