PASRelief himpun lebih 60 NGO misi kemanusiaan

- Advertisement -

BANGI: Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) telah menganjurkan Malam Jalinan Kasih yang berlangsung di Bangi Avenue Convention Center (BACC) di sini Jumaat lalu.

Majlis ini dihadiri lebih 150 tetamu dari pelbagai lapisan masyarakat dan lebih 60 badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam pelbagai misi kemanusiaan, kebajikan, pendidikan, dan dakwah.

Makan malam ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara PASRelief dan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) yang pernah bekerjasama dalam pelaksanaan misi kemanusiaan.

Pengarah PASRelief, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah berkata, PASRelief mengambil tanggungjawab menganjurkan majlis ini untuk terus membina kerjasama dengan semua NGO berkenaan.

- Advertisement -

Jelas beliau, ia untuk memastikan pertolongan dan bantuan dapat disampaikan dengan selamat, serta bersama-sama membantu mereka yang memerlukan.

Turut berucap ialah Pengerusi Lajnah Hubungan NGO dan Seranta PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad yang menegaskan peranan penting digerakkan oleh NGO.

“(Kita bincang dulu) Nak guna nama PASRelief? Ataupun nak guna nama yang tak ada jenama PAS. Dan kita bincang kita kata dah sampai masanya untuk kita gunakan jenama kita sendiri.

“(Ia) sebagai menunjukkan komitmen kita di peringkat antarabangsa terhadap rakan-rakan kita dari tanah air yang mereka ini bukan sekadar dianaktirikan bahkan mereka ini menjadi mangsa kezaliman kerajaan-kerajaan tertentu yang menafikan hak terutama sekali umat Islam,” ujar beliau.

Majlis juga diserikan dengan persembahan dan tayangan montaj mengenai usaha-usaha kemanusiaan yang telah dilaksanakan.

Turut diadakan segmen Bicara Kemanusiaan, di mana panel yang terdiri daripada Ustaz Yusni dan Timbalan Pengarah 1 PASRelief, Dr Suhazeli Abdullah berbicara mengenai cabaran global dalam kemanusiaan dan menjawab soalan daripada hadirin.

Ustaz Yusni yang ditemui selepas majlis memaklumkan perancangan PASRelief untuk terus mengeratkan hubungan dengan pelbagai NGO yang pernah bekerjasama dalam pelaksanaan misi kemanusiaan. 

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Penaga itu, acara tersebut menghimpunkan NGO yang terlibat dalam misi-misi besar seperti Sekretariat for Palestine, Aid for Turkey, dan Aid for Palestine 2.0.

“Hubungan kita dengan NGO-NGO ini sangat penting, dan kita tidak mahu hubungan ini menjadi renggang. Oleh itu, malam ini kita anjurkan majlis makan malam santai untuk merapatkan lagi hubungan ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/1/2025

- Advertisement -