Pengkhianatan kepada Institusi Diraja – Pemuda

Sembunyi Titah Adendum

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Dewan Pemuda PAS Malaysia menyatakan kekesalan dan kekecewaan terhadap isu melibatkan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong yang didakwa cuba disembunyikan oleh pihak tertentu.

- Advertisement -

Ketua Penerangannya, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, seluruh jentera parti di peringkat negeri dan kawasan akan diarahkan membuat laporan polis bagi mendesak siasatan lanjut terhadap pihak terlibat.

“Kami menganggap ini sebagai satu pengkhianatan serius terhadap Institusi Diraja, terutama melibatkan titah Yang di-Pertuan Agong.

“Pihak berkuasa perlu menyiasat dan mencari siapa dalang sebenar di sebalik insiden ini,” katanya ketika sidang media di luar kompleks Istana Kehakiman Putrajaya, di sini hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa Pemuda PAS tidak teragak-agak untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran sebagai tanda penolakan terhadap sebarang bentuk penderhakaan terhadap institusi Diraja.

Beliau berkata, himpunan itu adalah untuk menegaskan pendirian oleh Pemuda PAS bahawa Institusi Diraja perlu dipertahankan dan sebarang ancaman terhadapnya tidak boleh dibiarkan.

Justeru, beliau turut menyeru kepada anak muda termasuklah Pemuda Umno, Armada, Amanah, Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan lain-lain agar sentiasa bersama mempertahankan Institusi Diraja demi kestabilan negara.

“Kita perlu menjadi tunjang utama untuk memastikan segala ancaman yang dibuat atas dasar kepentingan apa juga berkaitan tentang isu Dato’ Sri Najib mesti dipelihara.

“Oleh demikian, Pemuda PAS berhasrat untuk memulakan tindakan itu seawal mungkin di seluruh negara dan sebarang pengumuman lanjut akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya.

Terdahulu, peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hari ini mendedahkan surat daripada Majlis Kesultanan Pahang yang mengesahkan wujudnya Titah Adendum.

Dokumen tersebut membenarkan bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Menurut Muhammad Shafee, surat bertarikh 4 Januari lalu itu, dihantar kepada anak sulung Najib, Datuk Mohamad Nizar oleh Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman.

Muhammad Shafee menyertakan dokumen itu ketika mengemukakan permohonan Najib untuk memasukkan bukti tambahan dalam rayuannya untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman berhubung Titah Adendum berkenaan.

Surat itu menjelaskan bahawa baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16 telah memberi titah tambahan itu.

Ia supaya Najib menjalani baki hukuman pemenjaraan menerusi penahanan dalam rumah melalui Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024.

Surat itu selanjutnya menyatakan Pengelola Bijaya bagi pihak Sultan Pahang memperakukan bahawa Titah Adendum adalah wujud dan sahih. – HARAKAHDAILY 6/1/2025

- Advertisement -