
KES KEJADIAN tayar lori tercabut sering kali menyebabkan beberapa kemalangan serius berlaku di Malaysia. Terkini nahas yang berlaku di Lebuhraya PLUS, Ayer Keroh Melaka pada 24 Disember 2024 yang menyebabkan tujuh individu maut termasuk seorang bayi, manakala 33 lagi tercedera.
Berikut juga adalah beberapa kes yang pernah berlaku pada tahun 2024:
a. Insiden di Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur (22 Mei 2024):
Butiran kejadian: Dua tayar sebuah lori tercabut dan memasuki laluan bertentangan, mengenai dua kereta.
Mangsa: Seorang pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cedera parah di kepala dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Sumber: Sinar Harian
b. Kemalangan di Putrajaya (28 Ogos 2024):
Butiran kejadian: Seorang penunggang motosikal berusia 47 tahun dalam perjalanan ke tempat kerja maut apabila motosikalnya berlanggar dengan tayar lori yang tercabut.
Mangsa: Lelaki tersebut meninggal dunia di lokasi kejadian.
Sumber: majoriti.com.my
c. Kejadian di Lebuh Raya (November 2024):
Butiran kejadian: Seorang lelaki cedera di bahagian muka dan kepala selepas tayar yang tercabut dari sebuah lori terkena cermin hadapan kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandunya.
Mangsa: Lelaki tersebut mengalami kecederaan dan menerima rawatan perubatan.
Sumber: Astro Awani
Berdasarkan kekerapan insiden yang berlaku sudah tiba masanya penguatkuasaan perlu dipertingkatkan oleh pihak berautoriti. Antara yang boleh pertekankan ialah adanya Sistem Pengurusan Keselamatan Jalan Raya dan Lalu Lintas (RTSMS) terutama kepada pengusaha kenderaan-kenderaan komersial seperti lori, treler, bas dan teksi. Sistem pengurusan keselamatan jalan raya dan lalu lintas ini adalah bertujuan untuk meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya dengan mengurangkan risiko kemalangan melalui pendekatan terancang dan berstruktur.
Elemen utama RTSMS ini merangkumi mengadakan polisi keselamatan jalan raya yang jelas dan sesuai dengan perundangan serta keperluan tempatan. Kedua mengenal pasti risiko keselamatan jalan raya seperti keletihan pemandu, keadaan jalan, atau penyenggaraan kenderaan. Ketiga pemantauan kualiti dan penyenggaraan kenderaan secara berkala untuk memastikan ia selamat digunakan. Selain itu termasuk latihan pemanduan berhemah dan mengadakan sistem pemantauan seperti GPS untuk memantau kelajuan, masa pemanduan, dan tingkah laku pemandu.
Oleh itu bagi menjayakan sistem pengurusan keselamatan jalan raya dan lalu lintas ini ia memerlukan sokongan pelbagai pihak terutama pengusaha, pemandu serta agensi penguatkuasaan seperti Polis Trafik, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan. Di samping adanya undang-undang jalan raya seperti Akta Pengangkutan Jalan 1987, diharapnya RTSMS adalah sebagai ‘perkakas’ bagi membantu pematuhan perundangan!
Ts. SHAHRONIZAM NOORDIN
Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan- HARAKAHDAILY 24/12/2024
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











