
KUALA LUMPUR: Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) menggesa kerajaan mengambil langkah lebih proaktif untuk mengatasi kelewatan Malaysia dalam teknologi kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata, Malaysia kini berada di tangga ke-39 dalam Indeks AI Global 2024 berbanding negara lain khususnya China dan Singapura.
“Jika kita bandingkan dengan negara China penggunaan AI agak ketinggalan terlalu jauh di mana negara itu hampir 230 juta penduduknya aktif menggunakan AI.
“Kalau mengikut indeks AI Global 2024 negara kita menduduki tempat 39 jika dibandingkan daripada 83 negara dan negara jiran kita yang terdekat pun iaitu Singapura pun menduduki tempat yang ketiga.
“Kenapakah kita terlalu ke belakang?” soalnya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut mempersoalkan strategi kerajaan dalam memperkasakan pembangunan AI negara, terutamanya melalui program Perintis AI 2024 yang diumumkan sebelum ini.
“Apakah perancangan khusus kerajaan untuk memperbanyakkan lagi latihan dan pembangunan kapasiti AI menerusi program perintis AI 2024 bagi mencapai sasaran 13,000 bakat baru AI menjelang 2026?” soalnya.
Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, portal rakyat digital yang dijadualkan untuk dilancarkan pada Disember ini, akan memberi fokus kepada pembangunan kemahiran dalam bidang seperti kecerdasan buatan.
“Portal ini akan menawarkan kursus percuma dalam bahasa Melayu dan Inggeris, serta menyediakan sumber-sumber latihan dalam talian yang mudah diakses,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan untuk menyediakan jawapan bertulis sekiranya penjelasan yang dikemukakan tidak mencukupi. – HARAKAHDAILY 11/12/2024











