Tingkatkan elaun guru AIMAN demi pendidikan holistik

- Advertisement -

IPOH: Mohd Hafez Sabri (PN-Manjoi) menyeru Kerajaan Negeri agar mempertimbangkan kenaikan elaun guru-guru Akademik Insan Muda Ar-Ridzuan (AIMAN) daripada RM600 kepada jumlah yang lebih sesuai dengan keadaan semasa.

- Advertisement -

Beliau menyatakan perkara ini semasa sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Perbekalan Tahun 2025 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2025 di Persidangan Dewan Negeri (DUN) Perak, di sini hari ini.

Beliau memuji keberkesanan program AIMAN yang dirintis sejak 2018 untuk pelajar sekolah menengah dalam memberi pendidikan agama dan kemahiran khas melalui sukatan pelajaran merangkumi akidah, ibadah, adab, Al-Quran, hafazan, dan ihsan.

“Program ini dijalankan tiga kali seminggu, melibatkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) sebagai penyelaras, Yayasan Perak sebagai penaja, serta kerjasama masjid-masjid terpilih.

“Saya melihat AIMAN mampu melahirkan generasi remaja yang berakhlak mulia dan menjadi pemimpin yang berwibawa, pendidikan ini juga berpotensi membendung masalah sosial di kalangan anak muda,” katanya.

Hafez turut menekankan pentingnya memperkasakan program ini di semua daerah dan sekolah menengah kebangsaan, menjadikan ia satu landasan kukuh untuk anak-anak membentuk identiti diri.

Beliau juga berkongsi pengalaman peribadinya sebagai pelajar sekolah agama di Perak, yang memberi pendedahan luas kepada Al-Quran, hadis, bahasa Arab dan ilmu agama lain.

“Elaun yang lebih tinggi bukan hanya mengiktiraf usaha guru-guru AIMAN, tetapi juga memastikan program ini terus menarik minat tenaga pengajar berkualiti untuk membimbing anak-anak kita,” tambahnya lagi.

Dengan peningkatan elaun, beliau yakin program AIMAN dapat mencapai potensi penuhnya dan terus menyumbang kepada pembangunan generasi muda Perak. – HARAKAHDAILY 3/12/2024

- Advertisement -