
AMPANG: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Hulu Langat diminta menyediakan laluan pejalan kaki sempurna demi keselesaan dan keselamatan pelajar dan orang awam.
Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, ketika ini pembinaan hanya sebahagian laluan pejalan kaki di Jalan Bunga Raya, Taman Kencana, di sini menyusahkan orang ramai.
“Laluan pejalan kaki yang sempurna telah siap dibina dari persimpangan Jalan Kencana 11 dan Jalan Bunga Raya menghala ke persimpangan Jalan Pandan Ilmu dan Jalan Bunga Raya.
“Pejalan kaki ini bersambung ke Jalan Pandan Ilmu menghala ke Dewan MPAJ Pandan Indah. (Bertanda ‘A’ di dalam pelan).
“Bagaimanapun tiada laluan pejalan kaki seperti itu di hadapan kedai-kedai di Jalan Kencana 15 menghala ke Jalan Lingkaran Tengah II (MRR2). (Bertanda ‘B’ di dalam pelan.)
“Hanya terdapat laluan berumput yang tidak rata dan terdapat laluan bertar yang disediakan terlalu sempit,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Iskandar, laluan itu digunakan oleh orang ramai yang mahu melintasi MRR2 dengan menggunakan jejantas pejalan kaki.
“Orang ramai yang berulang-alik ke Taman Pandan Perdana di seberang MRR2 akan menggunakan laluan tersebut.
“Keadaan amat membimbangkan kerana terdapat orang ramai termasuk pelajar yang terpaksa berjalan di atas jalan raya kerana ruang yang disediakan sempit dan agak curam.
“Terdapat lokasi di mana tidak disediakan laluan pejalan kaki justeru memaksa mereka berjalan di atas jalan raya.
“Ini menghairankan kerana jejantas untuk menyeberangi MRR2 disediakan tetapi laluan tidak disediakan sepenuhnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/12/2024














