
KOTA BHARU: Enam pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Salor ditutup sepenuhnya hari ini selepas semua mangsa banjir dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.
Bagaimanapun ADUN Salor Saizol Ismail berkata, pihaknya sentiasa bersedia terhadap sebarang kemungkinan berlaku banjir gelombang kedua.
“Alhamdulillah semua enam PPS di Dun Salor ditutup hari ini, apa pun masih dalam ‘standby mode’,” katanya di sini.
Antara sekolah yang dijadikan PPS di DUN Salor sebelum ini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Salor, Sekolah Kebangsan (SK) Dewan Beta, SK Kedai Piah dan SK Mulong Satu.
Jumlah mangsa banjir di Kelantan mencatatkan penurunan sedikit hari ini iaitu 80,575 orang membabitkan 25,125 keluarga sehingga jam 12.16 tengah hari tadi.
Menurut InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) PPS menunjukkan pengurangan iaitu 220 PPS berbanding 251 membabitkan sembilan jajahan.
Pasir Mas kekal tertinggi 29,968 orang, diikuti Tumpat (20,142), Kota Bharu (4,666), Pasir Puteh (10,622) dan Kuala Krai (4,344), Bachok (5,105), Machang (3,475), Tanah Merah (2,172) dan Jeli (81).
Sementara itu Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan kadar taburan hujan dijangka meningkat bulan ini dan jauh lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu. – HARAKAHDAILY 2/12/2024











