
KUANTAN: Aspek iman dan takwa perlu dijadikan sebagai dasar dalam pentadbiran negeri agar terus maju, diperluaskan rezeki dan diberkati, seru Ustaz Shahril Azman Abd Halim (PN-Jengka).
Menurut beliau, jumlah pembentangan sebanyak lebih RM1 bilion baru-baru ini telah meletakkan negeri Pahang sebaris dengan negeri-negeri lain yang telah membentangkan bajet tahunan mereka.
“Namun sebesar manapun bajet, sebagai peringatan bersama, jangan kita lupa aspek iman dan takwa harus dijadikan dasar dalam pentadbiran negeri agar Pahang terus maju dan diperluaskan rezeki dan berkat, insyaAllah.
“Justeru, sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, maka peranan kami sebagai pembangkang adalah semak dan imbang dalam pentadbiran kerajaan.
“Bukan menyanggah kebenaran dan kebaikan yang telah dilakukan oleh kerajaan. Semua ini bagi memastikan kerajaan negeri tidak bertindak sewenang-wenangnya.
“(Iaitu ketika) dalam merancang dan melaksanakan sebarang program dan perbelanjaan,” katanya dalam Perbahasan Belanjawan 2025 Negeri Pahang di Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Beliau dalam pada itu turut menyentuh mengenai infrastruktur di negeri ini yang tidak dijaga dan diselenggara dengan baik sehingga mendapat aduan daripada penduduk.
“Jalan-jalan negeri, longkang pecah dan uzur yang perlu diganti, tebang dan ‘trim’ pokok yang membahayakan rakyat dan seumpama dengannya.
“Saya sebut ini berdasarkan realiti di lapangan dan pengalaman saya supaya apabila rakyat mengadu kepada pihak-pihak berkenaan, tiada lagi jawapan ‘peruntukan tidak ada’.
“Ataupun (rakyat terpaksa) ‘tunggu peruntukan’ yang mengambil masa sangat lama,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/12/2024











