
KUALA LUMPUR: Rawatan pemulihan akidah perlu dilakukan secara ‘paksa rela’ terhadap individu yang terbukti bersalah dalam isu akidah.
Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) menyatakan pendirian itu sebagai respons kepada pendekatan sedia ada yang menekankan rawatan secara sukarela.
“Kalau sudah ditangkap sudah pasti ada siasatan dan memang confirm ada kesalahan tetapi menteri sebut tadi untuk rawatan pemulihan akidah ini adalah secara sukarela.
“Jadi sepatutnya bila dah tangkap dapati bersalah dari sudut akidah kena ada satu proses yang lebih kepada paksa rela lah bukan lagi sukarela,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau mempersoalkan keberkesanan kaedah semasa yang tidak memberikan elemen paksaan dalam menangani kesalahan akidah.
Ahmad Marzuk turut mengajukan soalan kepada timbalan menteri mengenai kriteria utama yang digunakan agensi agama dalam mengklasifikasikan sesuatu ajaran sebagai sesat.
“Berkaitan dengan kriteria ajaran sesat yang dibongkarkan ini, apa kriteria utama dia? Setiap kali pihak agensi agama buat tangkapan ataupun pembongkaran (apa) kriteria utama sesebuah ajaran (itu dikatakan) sesat?” soalnya.
Selain itu, beliau menggesa supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyediakan rawatan pemulihan akidah khusus untuk kanak-kanak, dengan menekankan bahawa pendekatan untuk golongan itu perlu berbeza daripada rawatan bagi orang dewasa.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dalam jawapannya berkata, bagi individu yang ditahan, mereka perlu melalui program pemulihan akidah khusus oleh PDRM, Jabatan Penjara Malaysia, dan JAKIM.
Menurutnya, kriteria ajaran sesat termasuk pemimpin dianggap maksum, manipulasi pengikut, berdusta atas nama agama, dan amalan fanatik, seperti yang ditentukan oleh JAKIM dan muzakarah.
Zulkifli berkata, bagi kanak-kanak, modul pemulihan disesuaikan mengikut tahap keseriusan kes dengan kerjasama pihak berautoriti agama. – HARAKAHDAILY 27/11/2024











