T’ganu komited tangani gangguan hidupan liar

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu bersama Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), komited dalam menangani konflik gangguan hidupan liar.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar Negeri, Datuk Razali Idris berkata, antara spesies sering terlibat dalam gangguan itu adalah kera, gajah dan harimau yang menyebabkan kerosakan terhadap tanaman dan memberi kesan besar kepada penduduk setempat.

“Bagi setiap aduan yang diterima, PERHILITAN akan mengambil tindakan dengan melaksanakan siasatan, pemantauan dan tindakan tembak halau, pemasangan perangkap atau operasi tangkap pindah sekiranya hidupan liar tersebut gagal untuk kembali ke habitat asal mereka.

“Tindakan penakaian (tembak mati) akan dilaksanakan ke atas spesies kera dan babi hutan kerana populasi yang amat tinggi dan kebolehan membiak yang pantas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi jawab lisan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemung, Mohd Zawawi Ismail di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Zawawi meminta kerajaan negeri menjelaskan langkah yang diambil untuk menangani gangguan hidupan liar kerana beliau menerima banyak aduan daripada rakyat, khususnya pekebun-pekebun, mengenai kemusnahan disebabkan oleh serangan gajah dan hidupan liar.

Kata beliau, dalam usaha mengatasi serangan gajah, kerajaan negeri telah membina Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) di tiga lokasi utama, iaitu di Kampung (Kg) Lawit ke Belukar Bukit, Hulu Terengganu (29.5km), Kg Pelong, Setiu (35km), dan Kg Payung ke Chalok Barat, Setiu (25km).

“Projek ini dibiayai di bawah RMK-10 dengan kos sekitar RM3.5 juta. Kerajaan juga telah memperuntukkan lebih kurang RM500,000 setiap tahun bagi kerja-kerja kontrak pembersihan dan penyelenggaraan SPEG ini agar ianya berfungsi dengan baik dan dapat membantu mengurangkan serangan gajah,” katanya.

Kata beliau, kerajaan negeri juga telah mewujudkan pasukan keselamatan atau renjer komuniti seperti ‘Basong Rangers’ di Kampung Basong, Hulu Terengganu, sebagai projek perintis.

Katanya, pasukan itu melibatkan kerjasama antara komuniti, Pejabat Daerah, PERHILITAN, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), dan agensi lain untuk mengurangkan risiko serangan gajah liar.

Beliau berkata, kerajaan turut menyediakan bantuan saguhati kepada petani dan penternak yang terkesan akibat serangan hidupan liar melalui Tabung Bencana Pertanian Terengganu.

“Kadar bantuan yang ditetapkan oleh Tabung Bencana Pertanian (Terengganu) adalah sebanyak RM1,000 per hektar dan had maksima setiap pemohon ialah dua hektar,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/11/2024

- Advertisement -